Home Berita PAS Terengganu

Kita boleh bincang, tapi tidak untuk PH jadi kerajaan

237
SHARE

 

Beberapa hari ini, agak bising rakyat memperkatakan tentang kekeliruan yang diberitakan oleh media. Presiden PAS telah secara rasminya mengumumkan bahawa PH adalah musuh PAS yang mesti ditewaskan dalam PRU nanti. Bagi yang sedar, mereka akan dapat menghidu betapa kuatnya serangan PH terhadap Presiden PAS. Mereka mahu menunjukkan taringnya.

Kemudian ada pula berita berkaitan PAS yang dikatakan dijemput Umno untuk berbincang bagi menghadapi PRU nanti. Ia belum berlaku, tetapi sekadar rancangan bagi satu pertemuan. Bagi PAS, ia mesti diraikan kerana Umno adalah rakan Muafakat Nasional dan Presiden PAS telah berkali-kali menegaskan pertahankan MN dan perkukuhkan PN.

Kemudiannya, PN pula melalui Pengerusinya, TS Muhyiddin Yassin mengisytiharkan bahawa BN adalah musuh PN yang akan ditentang habis-habisan dalam PRU nanti. Jadilah kelihatannya satu pertembungan kenyataan oleh kedua-dua orang penting dalam PN itu. Maka TS Muhyiddin akan berjumpa dan bertanya sendiri kepada Presiden PAS akan duduk perkara itu.

Umno yang baharu sahaja merayakan pembebasan Presiden mereka daripada 40 pertuduhan rasuah oleh mahkamah. Mahkamah kelihatannya agak bagus bagi Umno ketika ini, kerana dikira adil. Manakala bagi PH pula, mahkamah gagal menjalankan tanggungjawabnya. Dan apabila ketika DS Najib dikenakan hukuman, bagi mereka mahkamah itu adil. Waktu DS Anwar merengkuk dalam penjara, mahkamah dipengaruhi kuasa luar. Begitulah.

Bagi PAS, kedua-dua PH dan Umno memang mempunyai masalah dengan integriti. PAS sangat maklum. Kedua-duanya sebelum ini pernah menjadi regu politik bagi menewaskan lawan. PAS tahu di mana kuat dan lemah mereka. Mereka juga dengan malu-malu, mahukan PAS sebagai pasangan kerana setiap PRU, PAS pasti akan diajak mereka untuk bersama. Jika PAS menolak, maka mereka akan mula menyerang dengan fitnah.

Dengan nama baik yang PAS bawa, ia akan menjadi mata tambahan kepada parti yang bersama PAS. Bukti yang diulang-ulang ialah PAS berjaya mentadbir tanpa rasuah walau bertambah negeri yang dimenangi, bertambah ahli dan juga bertambah umur parti, PAS makin matang. PAS juga faham bahawa kemenangan untuk menakluki Malaysia, mestilah dengan bersama parti lain. Tidak boleh keseorangan.

Namun rakan politik yang macamana yang menjadi pilihan PAS? PAS ada kriteria dalam memilih rakan. Ia satu disiplin yang diterima daripada al-Quran dan sunnah. PAS mesti menjaga perkara asas agama terdahulu. Jika tiada yang boleh membantu PAS dalam hal ini, maka bersendirian dan kalah, lebih baik daripada duduk bersengkongkol dengan musuh Islam.

Tetapi PAS mempunyai bijak pandai yang boleh melihat akan ruang-ruang bagi meletakkan Islam pada kedudukan yang sesuai, walaupun terpaksa berkawan dengan parti yang tidak sedasar dengan PAS. Contoh perjalanan dakwah Rasulullah sendiri, banyak kali juga baginda bersama bukan Islam sebagai rakan dan kemudiannya membawa kebaikan kepada Islam.

Oleh itu, PAS akan memastikan bahawa rakan yang dipilih sudah tentulah yang terbaik bagi Islam iaitu Bersatu dan juga Umno. Kerana jangankan kata professor atau cendikiawan yang bijak pandai dapat melihat kemenangan cemerlang yang bakal diperolehi jika ketiga-tiga ini bergabung, malah pakcik dan makcik tua yang di desa juga tahu akan hal ini.

Benda boleh bincang, buat apa sesama kita serang menyerang. Kita hanya bersama serang PH sebab PH adalah mudharat yang paling teruk dan paling bahaya kepada negara. Yang ini, tidak perlu kita bincang sebab 22 bulan ketika mereka pegang kerajaan, adalah kenangan pahit bagi semua.

Mohd Nasir Abdullah
26 September 2022