Home Berita PAS Pahang

Dewan Ulama PAS Bentong kunjung hormat PAID, MUI dan JKM Bentong

192
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 11 Feb :: Dewan Ulamak PAS (DUP) Bentong yang baharu dua bulan ditubuhkan secara rasmi pada 19 Disember lalu melakukan kunjungan sulung ke Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dan Majlis Ugama Islam (MUI) Bentong di sini semalam.

Ketua DUP Bentong yang juga merupakan mantan Timbalan Kadi Daerah Bentong, Ustaz Roslan Md Esa berkata, ziarah mahabbah itu selain dari merapatkan ukhuwah turut bertujuan membina jaringan kolaborasi antara PAS dan badan-badan kerajaan negeri dan pusat yang ada di sekitar Bentong.

DUP Bentong berhasrat menghimpunkan NGO-NGO Islam agar dapat duduk semeja bersama di dalam satu persidangan meja bulat bagi membincangkan sebarang isu dan masalah berbangkit.

“Kita nampak isu kemajuan Pusat Pendidikan dan Pengajian Islam seperti Maahad Tahfiz, Pondok, Sekolah Agama Rakyat termasuk isu kurikulum dan kokurikulum serta hal-hal kebajikan, boleh dibincangkan bersama.

“Fokus saya ialah untuk cuba memajukan sehabis baik pengurusan operasi pendidikan Islam, insyaAllah,” ujar Roslan.

Beliau menambah, selaku Pengerusi Muafakat Pondok Se-Malaysia Pahang serta Pengerusi Majlis Taawun Pusat Pendidikan Islam Pahang (MANTAP), perbincangan itu diharap mampu menatijahkan solusi terbaik demi kemajuan dan kemakmuran pendidikan islam khususnya di negeri Pahang.

“Kami optimis, melalui kolaborasi dan kerjasama baik antara PAS dan NGO serta institusi kerajaan ini, ia akan merecup ‘kuasa’ yang mampu memberi kebaikan serta kemajuan kepada Islam dan umah,” tegas Roslan yang juga Mudir Maahad Tahfiz Al-Abrar Bentong.

Dalam kesempatan itu juga, beliau turut menguar-uarkan salah sebuah NGO penting di Pahang yang berjuang mengangkat martabat ummah dan Islam iaitu Pertubuhan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH).

Turut diperkenalkan, NGO Abrar Care Malaysia yang banyak memainkan peranan di Malaysia sejak 2014 dengan tema “Kesusahan Anda Keprihatinan Kami”.

Delegasi DUP Bentong meneruskan ziarah mahabbah seterusnya ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bentong dan berkesempatan berkongsi rasa dengan sebahagian kakitangan yang terlibat banjir baru-baru ini.