Home Berita PAS Pulau Pinang

PAS Balik Pulau bantah pembinaan asrama pekerja asing

221
SHARE

BALIK PULAU. 12 FEBRUARI – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Balik Pulau bersama Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Pekerja Asing Teluk Kumbar telah mengadakan demonstrasi aman bagi membantah keputusan Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk membina projek asrama pekerja asing di Teluk Kumbar. Turut bersama dalam demonstrasi ini, ahli-ahli Qaryah masjid-masjid, NGO-NGO dan parti-parti politik lain di sekitar Teluk Kumbar dalam membuat bantahan berkaitan projek ini. Demonstrasi bantahan ini telah diadakan berhampiran Dataran Teluk Kumbar.

Ustaz Fauzi Bin Yusof, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dalam ucapannya menegaskan bahawa PAS turun bersama Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Pekerja Asing Teluk Kumbar membantah keputusan pembinaan projek asrama pekerja asing ini kerana ianya membawa kesan buruk kepada penduduk tempatan terutama gangguan kesesakan jalan raya, menimbulkan gejala sosial dan membawa kesan negatif kepada budaya masyarakat setempat.

Sekitar 35,000 – 40,000 orang pekerja asing yang akan ditempatkan di asrama ini kelak. Jumlah ini melebihi jumlah penduduk Teluk Kumbar itu sendiri lebih kurang 10,000 – 15,000 orang sahaja. Ini menjadikan kawasan ini mempunyai kepadatan pendudukan yang tinggi. Sedang kawasan ini kekurangan kemudahan dan keperluan penduduk tempatan seperti pejabat pos, pasar awam dan jalan raya yang teratur.

Penduduk Teluk Kumbar dan sekitarnya bimbang dengan kebanjiran pekerja asing ini akan mengancam keamanan dan kedamaian suasana tempat mereka. Kemungkinan kes jenayah seperti kecurian dan samun akan turut meningkat.

Mereka amat kesal sikap kerajaan DAP Pulau Pinang yang tidak memikirkan kebajikan pendudukan tempatan sebelum sesuatu projek dibina. Sebelum ini Kerajaan DAP Pulau Pinang telah berhasrat untuk membina 3 pulau buatan dengan mengetepikan sumber pendapatan nelayan di kawasan ini. Bukankah hasrat Kerajaan DAP Pulau Pinang juga akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing?

Lantaran itu, PAS Kawasan Balik Pulau dan Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Pekerja Asing dalam demonstrasi yang diadakan ini menyatakan sebulat suara membantah keputusan pembinaan projek asrama pekerja asing oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang yang akan dibina di Teluk Kumbar dan mendesak membatalkan projek ini.