Home Artikel PAS Wilayah

Dasar Islam Rahsia Kekuatan PAS

920
SHARE

Oleh : Maizatul Asida
15 Februari 2020

BATU – Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Cawangan Sri Kelantan telah berlangsung dengan jayanya di Taman Dato’ Senu, baru-baru ini.

Perasmian mesyuarat tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Penerangan PAS Kawasan Batu merangkap Ahli Jawatankuasa Kerja Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan iaitu Ustaz Yusuf Assiddiq Ahmad Sharkawi.

Majlis perasmian yang telah dihadiri oleh seramai 12 orang ahli PAS cawangan Sri Kelantan turut menyaksikan kehadiran Ketua Cawangan PAS Sri Kelantan, Haji Ahmad Hashim dan Timbalan beliau, Haji Abdullah.

Memetik intipati ucapan perasmian beliau, Ustaz Yusuf menyatakan terdapat beberapa rahsia yang menjadi kekuatan PAS lantas melayakkan parti itu berada di persada politik negara.

“Rahsia yang pertama adalah kerana dasar PAS adalah Islam. Kerana dasar ini kita mampu berada di persada politik yang penuh dengan cabaran dan dugaan di mana ada ketikanya kita menang, ada ketikanya kita kalah dan ada ketikanya kita merosot. Faktornya ialah kerana dasar. Dengan dasar kita melihat dan menyusun strategi-strategi politik kita,” ujar beliau.

Faktor kedua adalah kerana PAS menitikberatkan tarbiyah dan ilmu yang mendidik ahli-ahli kita untuk memahami tentang Islam seperti konsep ibadah dan aqidah perjuangan.

Ahli-ahli juga dididik agar tidak taasub kepada pimpinan dan hanya taat bilamana pimpinan wala’ kepada Allah SWT dan Rasul SAW.

“Atas dasar kefahaman inilah orang menyertai PAS,” beliau berkata lagi.

Antara rahsia-rahsia kekuatan PAS yang lain adalah seperti ukhuwwah Islamiah yang teguh sesama ahli, gabungan antara kepimpinan ulamak, profesional dan amilin, ahli yang wala’ serta adanya Majlis Syura Ulamak yang menjadi benteng kepada PAS agar tidak menyeleweng dan meninggalkan asas-asas yang ditetapkan oleh syarak.

Dengan adanya dasar yang jelas dan kukuh ditambah pula dengan elemen-elemen kekuatan yang disebutkan, maka tidak hairanlah PAS masih kekal bertapak di negara ini dan menjadi sebuah parti yang teguh walau diasak dari segenap sudut.