KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PULAU PINANG
10 Jun 2017 | 15 Ramadan 1438
1. Kegiatan perjudian yang semakin berleluasa di negeri ini dilihat berpunca daripada dasar dan pendekatan pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang. Kapitalisme yang menjadi antara tunjang pemerintahan DAP hanya mengutamakan keuntungan dan perolehan kewangan tanpa melihat kesan ke atas aspek sosial masyarakat.
2. Bahkan, tidak ada bezanya DAP dengan pemerintahan BN yang juga berpaksi sedemikian. Dalam konteks ini, Kerajaan Persekutuan yang diterajui BN meluluskan lesen judi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP pula adalah pihak pemberi ‘kemudahan’ lesen premis.
3. Ini menyebabkan kegiatan perjudian di Pulau Pinang umpama ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Itu tidak termasuk perjudian secara tersembunyi yang berselindung disebalik aktiviti perniagaan, di mana kegiatan ini semakin berleluasa dan taktik ini bukan lagi satu rahsia.
4. Peniaga berani ‘mengambil kesempatan’ itu kerana kerajaan yang memerintah pun seperti itu. Seperti kata pepatah Cina, “Ikan busuk bermula dari kepala”. Jika berlaku tangkapan atau tindakan undang-undang, akhirnya hanya membawa kepada saman. Mereka terlebih mampu untuk bayar.
5. Setelah itu, sama ada kegiatan diteruskan, atau mereka akan memohon lesen sah. Sebab itu sebagaimana diisytihar oleh Polis Pulau Pinang, kes berkaitan kegiatan perjudian semakin meningkat tahun ini melibatkan tangkapan dan rampasan. Suatu ketika, penguatkuasaan polis akan berdepan kebuntuan maksimum.
6. Kerana terpaksa berdepan punca kuasa yang membenarkan kegiatan ini berjalan dan pada masa itu terpaksa berdepan pula kemelut masalah sosial dari kesan sampingan atau percambahan masalah dibiakkan dari kegiatan perjudian. Dari porak peranda keluarga hinggalah kepada jenayah.
7. Gengsterisme, pinjaman Along, pergaduhan, kecurian dan seumpamanya adalah kebejatan yang akan lahir kelak. Pemerintahan DAP mungkin megah mengaut laba dari hasil kerancakan kegiatan perjudian di negeri ini, tetapi ia akan berdepan krisis di suatu masa nanti.
8. Hakikatnya, pemerintahan DAP bukanlah demi kesejahteraan rakyat, sebaliknya mengambil kesempatan atau peluang membina kekayaan dari kerosakan sosial rakyat. PAS telah menunjukkan solusi sebagaimana pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan yang menggunakan kuasa atas premis untuk menyekat aktiviti perjudian.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
AHMAD SAFUAN UJAR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang