Home Minda Presiden

Darurat dan maslahah

112
SHARE

Minda Presiden PAS

DARURAT DAN MASLAHAH


Darurat adalah perkara yang boleh mendatangkan keburukan kepada rukun kehidupan manusia dari aspek agama, diri, keluarga dan masyarakat, serta urusan kehidupan secara keseluruhan. Hal ini demikian kerana, wujud sebab-sebab yang datang tanpa diduga sehingga terpaksa dihadapi seperti penyakit berbahaya, bencana alam dan lain-lain.

Perkataan darurat disebutkan sebanyak lapan kali dalam al-Quran, kitab ilmu yang menjadi mukjizat bagi umat Islam. Maka, para ulama’ membahaskan tajuk ini dengan huraian yang panjang lebar.

Darurat mengatasi hajat dan keperluan biasa, kerana keadaannya yang sangat mendesak. Khususnya, apabila ia menyentuh rukun yang menjadi keperluan dalam kehidupan manusia, sehingga menjadi perbincangan dari sudut Maqasid al-Syari‘ah yang disebutkan dengan perkara dharuriyyat.

Perkara yang termasuk dalam aspek dharuriyyat ialah menjaga agama, nyawa, akal, keluarga, maruah dan harta. Maka apa jua keadaan pun, agama tetap menjadi panduan terpenting dalam menentukan keutamaan. Terutamanya apabila memerlukan pilihan terhadap perkara-perkara yang berikutnya.

Firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ١٧٢ إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ١٧٣﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada rezeki yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kalian, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kalian hanya beribadat kepada-Nya. (172); Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kalian daripada memakan bangkai, darah, daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah; maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tiadalah dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. (173).” (Surah al-Baqarah: 172-173)

Ayat ini menegaskan betapa agama Islam meletakkan garis panduan darurat dalam menjaga nyawa itu lebih diutamakan. Sehingga diizinkan makan daripada makanan yang diharamkan dengan kadar yang tidak melampau, dengan tujuan menjaga nyawa dalam keadaan darurat.

Justeru itu, dalam menangani penularan wabak pandemik Covid-19, maka langkah darurat adalah wajib dilaksanakan oleh pihak kerajaan yang memerintah bagi menjaga nyawa rakyat dan perjalanan kehidupan mereka ketika musim yang sangat mencabar ini. Tujuan pelaksanaan ini bagi mengekang wabak yang mengancam masyarakat, keselamatan nyawa manusia, kehidupan, keluarga dan kegiatan harian dalam semua urusan.

Hari ini sudah ada negara yang menghadapi penularan wabak secara tidak terkawal, sehingga mengalami situasi kekurangan peralatan dan anggota barisan hadapan. Jumlah angka kes jangkitan juga mencatatkan peningkatan dan sangat memerlukan kerahan petugas yang ramai.

Maka kerajaan mengambil langkah yang pantas, bermula daripada persediaan peralatan dan anggota yang mencukupi, termasuklah persediaan anggota sokongan yang perlu ditambah dan dilatih. Peruntukan kewangan darurat juga wajib disediakan secukup-cukupnya, khususnya bagi menampung kos perbelanjaan untuk kegunaan barisan hadapan, anggota perubatan, keselamatan, keamanan dan segala agensi sokongan yang lain.

Perlindungan melalui undang-undang yang tegas terhadap pengacau tugas barisan hadapan pada masa darurat ini hendaklah digubal. Pada masa yang sama, tindakan yang tegas dikenakan terhadap mana-mana pengacau yang boleh melemahkan semangat barisan hadapan.

Pasukan barisan hadapan ialah golongan yang paling banyak mengorbankan diri, tenaga, masa dan meninggalkan keluarga, serta paling terdedah kepada bahaya.

Namun, mereka yang bertindak menjadi makhluk perosak, hanyalah mencari kesalahan untuk memprovokasi golongan bodoh dan lemah akal yang berkeliaran dalam masyarakat.

Pengacau memainkan peranan melalui langkah yang sengaja diatur atau tersendiri, melalui saluran media terbuka secara bebas khususnya media sosial yang bersifat makhluk perosak dan pengacau. Golongan ini hendaklah diburu di mana sahaja tempat persembunyian mereka dan dari mana sahaja datangnya.

Dalam tempoh darurat hari ini, kita hendaklah melupakan perbezaan agama, bangsa, fahaman politik dan segala kepentingan termasuk kepentingan harta perniagaan dan diri setiap individu. Malah, kita wajib tolong-menolong bagi menyelamatkan semua nyawa dalam keadaan darurat yang dihadapi sekarang.

Semua pihak wajib memberikan sumbangan harta dan tenaga masing-masing, bahkan boleh dikerahkan untuk memberikan sumbangan secara paksa yang dilakukan dengan sistematik dan terkawal.

Allah SWT telah memberikan peringatan kepada umat Islam, bahawa mereka akan diuji secara menyeluruh dalam kehidupan mereka sebagaimana firman-Nya:

﴿وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ  وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ١٥٥ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ١٥٦ أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ١٥٧﴾

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kalian dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta buah-buahan (hasil tanaman). Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (155); (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah (kesusahan), mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya jualah kami akan kembali.’ (156); Mereka itulah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan (keberkatan dan keampunan) daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya. (157).” (Surah al-Baqarah: 155-157)

Sudah terang dan nyata bahawa bencana Covid-19 yang berlaku merangkumi semua bentuk ujian yang dinyatakan dalam ayat ini, sekali gus memerlukan semua pihak agar mempunyai kesabaran dan kebijaksanaan.

Dalam menghadapi cabaran dan ujian ini, Khalifah ‘Uthman RA menegaskan suatu panduan:

‌إِنَّ ‌اللَّهَ ‌يَزَعُ ‌بِالسُّلْطَانِ ‌مَا ‌لَا ‌يَزَعُ ‌بِالْقُرْآنِ.

“Sesungguhnya Allah memberikan kuasa kepada pihak yang berkuasa untuk membuat keputusan dalam perkara yang tidak disebutkan oleh al-Quran.”

Maka, para ulama’ telah menetapkan satu kaedah yang terkenal melibatkan peranan pihak yang berkuasa:

‌تَصَرُّفُ ‌الْإِمَامِ ‌مَنُوطٌ ‌بِالْمَصْلَحَةِ.

“Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada memelihara maslahah terhadap rakyat.”

Maka, perisytiharan darurat yang dilaksanakan hari ini adalah satu tindakan proaktif dalam menangani keadaan yang semakin gawat. Apa yang paling penting ialah langkah pencegahan, rawatan dan kawalan yang tegas serta berani.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 30 Ramadhan 1442 / 12 Mei 2021