Home Berita PAS Pusat

Dakwah tanpa sempadan, had waktu dan kelompok sasaran.

473
SHARE


LUASKAN WILAYAH DAKWAHMU

Naskhah Dakwah PAS Pusat. Siri 19
3 Jamadil Akhir 1441 | 28 Jan 2020

Dakwah tanpa sempadan, had waktu dan kelompok sasaran.

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat
‪https://m.facebook.com/naskhahdakwah‬
‪https://t.me/Naskhahdakwah‬


1. Dakwah atau seruan mengajak manusia mempraktiskan kehidupan yang taat Allah SWT. adalah tanggungjawab kita tanpa pilih bulu.

2. Bahkan ia mesti bertolak dari rasa kasih sayang untuk menyelamatkan ummah dari terus terperangkap di tepi jurang api neraka.

3. Prinsip utama sang dae’i ialah :

a) memusuhi syirik bukan penganutnya,

b) memusuhi mungkar bukan pelakunya,

c) memusuhi ideologi songsang bukan pentaksubnya.

Pelajar PASTI Putrajaya Santuni Jiran Berbangsa Tionghoa pada 23 Januari 2020 yang lepas.

4. Bagaikan prinsip seorang doktor yang hanya memusuhi penyakit bukan pesakit. Biarpun siapa pesakit itu, walau bagaimana teruk kondisinya, sang doktor tetap menyambut pesakitnya dengan penuh santun.

5. Ini cabaran besar bagi seorang pendakwah. Menyampaikan risalah dan menyantuni ummah tanpa jemu malah mesti tahu dan bijak membezakan antara madu’u (sasaran dakwah) yang mesti didekati dengan maksiat (mungkar) yang wajib diperangi.

6. Bertolak dari sinilah, urusan dakwah ini memerlukan seni bertindak dan hikmah dalam menyampaikan risalah. Jiwa dae’i (pendakwah) mesti tenang dan mindanya mesti positif.

7. Beginilah Islam berkembang. Perang adalah pilihan akhir apabila Islam ditindas dan diserang dengan persenjataan. Sementara situasi aman, Islam bergerak dengan hujjah dan risalah yang benar serta akhlak dae’i yang halus dan tinggi.

8. Lebarkan jangkauan dakwah kepada semua tanpa meminggirkan sebahagian hanya semata-mata kerana bertentangan dan tidak sehaluan.

9. Wajar disedari bahawa dakwah itu memang sasarannya adalah mereka yang bertentangan dan tidak sehaluan. Jika mereka sudah sehaluan dengan kita, maka tidak lagi namanya dakwah sebaliknya apa yang perlu ialah tarbiyah supaya menjadi insan yang lebih soleh.

10. Dakwah ialah menggamit mereka yang tidak sehaluan supaya bersama kita dalam memperjuangkan Islam dan menegakkannya. Perlu dekati mereka, rapatkan jurang dan tenang menangani krisis. Berdada lapang dan menangi hati mereka dengan ilmu dan akhlak Islam.

Islam Memimpin Perpaduan.