Home Artikel PAS Pusat

Kerakyatan Jus Soli: Sikap PAS Dalam Menjamin Hak Ketuanan Melayu Islam

745
SHARE

ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS 2020
Entri 15

Oleh Mohd Fadli Ghani
https://m.facebook.com/mohdfadlighani

KERAKYATAN JUS SOLI: SIKAP PAS DALAM MENJAMIN HAK KETUANAN MELAYU ISLAM


KERAKYATAN adalah antara isu utama dalam wacana kemerdekaan negara pada dekad 1950-an. Kebanyakkan parti politik Melayu mempunyai sikap yang sangat tegas untuk menghalang orang-orang bukan Melayu daripada diterima sebagai rakyat negara ini. Kecuali Umno yang membentuk Perikatan dengan MCA dan MIC yang bersedia memberikan hak kerakyatan secara jus soli kepada imigran dari Cina dan India, kebanyakkan parti lain termasuk Parti Melayu Semenanjung (PMS), Parti Rakyat Malaya (PRM) dan PAS telah mempersoalkan kesetiaan imigran dari China dan India terhadap negara ini menjelang kemerdekaan. Kerana itu, parti-parti Melayu menolak cadangan British untuk melaksanakan dasar jus soli dalam soal kerakyatan selepas merdeka.

Jus soli (hak untuk kawasan atau kerakyatan berdasarkan tempat lahir) bermaksud hak kerakyatan sama rata iaitu taraf kerakyatan yang diberi berdasarkan tempat kelahiran tanpa mengira bangsa dan keturunan. Pada abad ke-19, isu hak kerakyatan ini berbangkit di Eropah di mana Perancis menerima dasar jus soli, sedangkan Jerman mengamalkan dasar jus sanguinis (hak untuk darah). Jus sanguinis adalah kerakyatan berdasarkan bangsa, darah dan bahasa. Dalam konteks falsafah politik, dasar jus sanguinis dianggap “kenegaraan objektif,” sedangkan dasar jus soli sebagai “kenegaraan subjektif,” yang tidak mementingkan konsep kenegaraan, tetapi mengutamakan pungutan suara. Asas perbezaan pandangan di Eropah ini adalah kerana berkembangnya pemikiran negara-bangsa (nation-state), di mana setiap bangsa berhak mempunyai negara sendiri atau negara yang dibina berasaskan bangsa.

Isu jus soli pertama kali berbangkit di Tanah Melayu apabila British menerusi Malayan Union pada 1946 cuba menyelesaikan isu kerakyatan imigran dari China dan India melalui dasar jus soli. Ia mendapat tentangan orang-orang Melayu kerana bangsa imigran berpeluang mendapat kerakyatan mudah di negara ini. Kerana itu, ketika Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan pada 1 Februari 1948, dasar kerakyatan telah diperketatkan kepada imigran dengan syarat domisil antara 10 hingga 15 tahun. PAS sehingga 1957 berpegang bahawa sekurang-kurangnya British mesti mengekalkan dasar kerakyatan 1948, tetapi dalam masa yang sama memberi hak ketuanan kepada bangsa Melayu.

Konflik kerakyatan jus soli timbul pada 1953 apabila pemimpin Umno, Tunku Abdul Rahman Putra bersetuju untuk menerima prinsip jus soli dalam tuntutan pilihan raya segera sebagai syarat untuk Umno membentuk pakatan politik dengan MCA, selain turut menerima janji “bantuan ekonomi kepada orang Melayu” dari MCA sebanyak RM500,000.00 sahaja. Kerana hal ini, dalam Pilihan Raya Umum 1955, seramai 199,000 imigran telah mendapat hak mengundi, iaitu 15.8 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi. Kerana menentang sikap Umno ini, PAS telah berkecuali dari National Convention tajaan Perikatan Umno-MCA pada akhir 1953. Ternyata pendirian PAS untuk menolak jus soli ini tepat apabila pengundi bukan Melayu mendadak naik kepada 43.2 peratus dalam Pilihan Raya Umum 1959, setelah kerakyatan jus soli dilaksanakan.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 22-23 Oktober 1955 telah mengkaji secara serius masalah kerakyatan jus soli ini dan telah menghantar memorandum kepada Raja-raja Melayu, Ketua Menteri Malaya dan Pesuruhjaya Tinggi British, selain membuat salinan kepada parti politik, ahli-ahli Majlis Undangan dan media massa. PAS turut menerbitkan memorandum ini kepada orang awam dengan tajuk “Maklumat Jus Soli.” Kebimbangan utama PAS ialah penguasaan imigran terhadap hak-hak politik di negara ini selepas merdeka, sedangkan mereka telah menguasai kekayaan ekonomi melalui konspirasi penjajah British. PAS menjangkakan 75 peratus daripada imigran Cina dan India akan mendapat hak politik selepas merdeka apabila mereka diterima menjadi rakyat Tanah Melayu secara jus soli. PAS menyedari bahawa dasar karakyatan jus soli akan memberi kesan buruk kepada negara kerana pertambah mendadak orang Cina selepas Perang Dunia Kedua. Jumlah orang Cina di Tanah Melayu telah bertambah dari 1,928,965 orang pada 1948 kepada 2,043,971 orang pada 1951. Ini menjadikan populasi penduduk begitu kritikal dengan orang Melayu seramai 2,631,154 orang (49 peratus), lebih rendah daripada imigran bukan Melayu yang berjumlah seramai 2,686,072 (51 peratus).

Kerana kebimbang dengan dasar kerakyatan yang dianggap “menggali kubur orang Melayu” ini, PAS telah memberi fokus untuk mempengaruhi Suruhanjaya Bebas Reid dan Rombongan Kemerdekaan ke London. Kepada Suruhajaya Reid, PAS dalam memorandumnya pada 14 Julai 1956 telah menegaskan tentang hakikat Tanah Melayu adalah milik orang Melayu dan Perlembagaan mesti menjamin hak ketuanannya, serta menganggap tuntutan kerakyatan jus soli adalah satu perbuatan tamak haloba bangsa imigran. PAS secara tegas menolak kerakyatan jus soli yang dicadangkan dan melihat ia akan mendedahkan negara ini kepada “pengkhianatan-pengkhianatan” yang akan “membahayakan kemerdekaan negeri” ini kelak.

Kepada Tunku Abdul Rahman yang mengetuai Rombongan Kemerdekaan ke London pula, PAS telah memberikan ingatan bahawa “kebangsaan bagi Tanah Melayu hendaklah kebangsaan Melayu,” dan rombongan ini “jangan mencuaikan hak dan kedaulatan Melayu dalam semua lapangan.” Tentang bangsa imigran, PAS “menentang kemasukan buruh asing ke Tanah Melayu,” dan mahu kerajaan “mengetatkan peraturan-peraturan penerimaan kerakyatan dari orang-orang asing.” Ketegasan PAS kepada rombongan Ketua Menteri itu adalah berkait rapat dengan tindakan beberapa pertubuhan Cina seperti MCA dan The Pan-Malayan Federation of Chinese Association (PMFCA) yang menuntut hak kerakyatan secara jus soli kepada British. Bahkan PMFCA dalam memorandumnya kepada Suruhanjaya Reid secara jelas menuntut agar hak ketuanan orang Melayu ke atas negara ini dihapuskan dan orang-orang Cina diberikan kerakyatan secara jus soli. Manakala Umno yang bermain politik dengan orang Cina telah menggadai kepentingan orang Melayu ketika itu. Atas kecuaian inilah, orang Melayu terpaksa menanggung akibatnya pada hari ini.

MOHD FADLI GHANI
Ketua Lajnah Sejarah dan Arkib, Sidang as-Sabiqun PAS Pusat
17 Jamadil Awal 1441
15 Januari 2020