TAMPOK : Bertempat di perkarangan PASTI Al-Hirak di Pekan Tampok, Pontian, sebuah Majlis Iftar dan Meraikan Golongan Asnaf telah dianjurkan oleh AJK PASTI Al-Hirak bagi tujuan meraikan golongan asnaf dan masyarakat setempat atas sokongan mereka yang berterusan kepada penubuhan PASTI di situ pada 1 Jun yang lalu.
Majlis tersebut turut diserikan lagi dengan kehadiran Tetamu Jemputan iaitu Saudara Shamsudin Bin Jaafar selaku Ketua Penerangan BPNJ (Badan Perhubungan PAS Negeri Johor) juga merangkap YDP PAS Kawasan Pontian dan Saudara Mohd Firdaus Jaffar selaku Pengerusi Jabatan PASTI Kawasan Pontian. Beberapa orang Pimpinan PAS di semua peringkat di Kawasan Pontian juga hadir bagi menyerikan lagi majlis tersebut.
Majlis yang bermula pada pukul 5.30 petang itu telah dimulakan dengan Tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Ibn Bacoks dan disusuli dengan ucapan oleh tetamu jemputan.
Kemudian, diikuti dengan penyerahan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim dan sumbangan barangan dapur kepada ibu tunggal dan fakir miskin.
Setelah itu, majlis diserikan lagi dengan bacaan tahlil ringkas dan alunan zikir oleh para pelajar tahfiz yang turut bersama pada majlis tersebut sementara menunggu waktu berbuka puasa.
Sementara itu, program ini sebenarnya merupakan program tahunan PASTI Al-Hirak di Pekan Tampok yang bertujuan untuk memastikan PASTI juga terlibat secara langsung dalam menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan disamping merapatkan lagi hubungan bersama masyarakat setempat.
{jathumbnail off}