Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Wanita 37 tahun penghidap darah tinggi kematian terbaru

131
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 22 Jun: Seorang wanita berumur 37 tahun dengan sejarah penyakit darah tinggi dan obesiti adalah salah seorang daripada empat mangsa kematian terbaru Covid-19 di Melaka hari ini.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, mangsa yang berasal daripada Mukim Merlimau dalam Daerah Jasin dan mula disahkan positif pada 9 Jun lepas itu sebelum ini mengalami gejala batuk, sakit perut, lemah badan dan sakit kepala.

Tiga mangsa lagi juga kesemuanya wanita di mana seorang berusia 57 tahun daripada Mukim Semabok Daerah Melaka Tengah; seorang lagi berusia 83 tahun daripada Mukim Duyong Daerah Melaka Tengah; manakala seorang lagi berusia 71 tahun daripada Mukim Merlimau Daerah Jasin.

Kes positif baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 167 kes positif baharu direkodkan hari ini berbanding 205 kes semalam di mana 162 kes daripadanya adalah daripada kategori tempatan, empat kes adalah daripada kategori import sementara satu kes lagi adalah daripada kategori banduan / OKT.

Menurut JKNM daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 102 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 29 kes di Daerah Jasin dan 36 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 164 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1742 kes masih dirawat berbanding 1743 semalam dengan 66 kes adalah daripada kes ICU dan 16 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kluster

Menurut laporan ini juga terdapat penambahan satu kluster baharu di Melaka pada hari ini iaitu Kluster Jalan Laksamana Cheng Ho yang merupakan kluster institusi pusat jagaan (warga emas) di mana seramai 51 kontak rapat telah disaring dan 26 orang telah dikesan positif.

Tambah JKNM, punca jangkitan terhadap kes indeks bagi kluster ini masih dalam siasatan dan disyaki jangkitan luar negeri (Import B) kerana kes indeks mempunyai sejarah perjalanan rentas negeri (baru dipindahkan dari Jempol Negeri Sembilan) dan bergejala.

Kes kemudiannya disahkan positif seterusnya merebak dalam kalangan penghuni dan staf yang berada di pusat jagaan tersebut.

Sementara itu JKNM menyatakan bahawa terdapat 33 kluster aktif di negeri Melaka dan tiga kluster luar Melaka yang aktif.

Terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu 10 kes bagi Kluster Industri Batu Berendam; empat kes bagi Kluster Industri Jalan Usaha Merlimau; satu kes bagi Kluster Industri Ayer Keroh; dua kes bagi Kluster Industri Teknologi Cheng; tujuh kes bagi Kluster Industri Jalan P1 Ayer Keroh; empat kes bagi Kluster Jalan Tun Fatimah; satu kes bagi Kluster Bukit Godek dan satu kes bagi Kluster Tembok Sungai Udang-2.

JKNM turut mengisytiharkan bahawa Kluster Kopitiam Machap Baru tamat pada hari ini dengan mengumpul 102 kes secara keseluruhan.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 4743 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 4611 kes semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1566 kes hari ini, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 635 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 77 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 69 kes semalam sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 705,762 kes.