Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 20 Ogos: Tiada kes kematian dan kluster baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.
Tambah laporan itu lagi, sebanyak 610 kes positif baharu direkodkan di negeri ini hari ini dengan 606 kes adalah daripada kategori kes tempatan, dan masing-masing dua kes daripada kategori kes import B dan kategori banduan/OKT/PATI.
Kata laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 348 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 69 kes di Daerah Jasin dan 193 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.
Sebanyak 258 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 8026 kes masih dirawat dengan 92 kes adalah daripada kes ICU dan 30 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.
Lima punca utama jangkitan bagi 610 kes hari ini ialah, 143 kes melibatkan kluster kilang; 247 kes melibatkan kontak keluarga; dua kes melibatkan institusi penjara; 10 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 175 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.
Kes seluruh negara
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 17.8 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 12.1 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.
KKM juga melaporkan sebanyak 23,564 kes positif baharu, 233 kes kematian baharu dan 21,448 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 257,417 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,513,024 kes.
Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 6974 kes, diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 2738 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.
|