Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 13 Jun : Satu lagi kluster baharu Covid-19 Negeri Melaka diumumkan pada hari ini iaitu Kluster Industri Jalan Usaha Merlimau, dalam Daerah Jasin yang merupakan kluster tempat kerja.
Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.
Menurut laporan itu seramai 105 orang kontak rapat telah disaring di mana 31 daripadanya telah dikesan positif yang terdiri daripada 16 pekerja kilang dan 15 orang ahli keluarga.
“Kes indeks kluster ini dikesan positif setelah menjalani saringan kendiri. Pengesanan kontak rapat dan aktiviti kawalan juga telah dijalankan oleh PKD Jasin,” kata JKNM.
Selain itu terdapat 28 kluster di negeri Melaka (kluster Melaka) dan satu kluster luar Melaka dilaporkan masih aktif di Negeri Melaka.
Kata laporan itu lagi, terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu 31 kes daripada Kluster Industri Batu Berendam; satu kes Kluster Batu 16 Bemban; enam kes Kluster Terendak Permai dan dua kes Kluster Jalan Alor Gajah Lama.
Laporan kes jangkitan baharu
Tambah laporan itu lagi, sebanyak 145 kes jangkitan baharu direkodkan hari ini di mana 144 kes daripadanya adalah daripada kategori tempatan sementara satu kes lagi adalah daripada kategori import.
JKNM turut melaporkan bahawa daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 87 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 35 kes di Daerah Jasin dan 23 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.
Jabatan itu juga berkata sebanyak 215 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1784 kes masih dirawat dengan 67 kes adalah daripada kes ICU dan 15 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.
Kes kematian
Satu lagi kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini melibatkan mangsa seorang wanita warga emas berumur 76 tahun.
Mangsa yang berasal daripada Mukim Bukit Katil dalam Daerah Melaka Tengah ini disahkan positif Covid-19 pada 2 Jun lepas mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Kes seluruh negara
Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 5304 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, lebih rendah daripada semalam.
Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri sebanyak 1973 kes, lebih tinggi daripada semalam diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 544 kes.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 64 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 657,508 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.
|