Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka | PKP seluruh negara

82
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 10 Mei : Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara termasuk Melaka.

Menurut Muhyiddin, tarikh kuat kuasa larangan rentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan bermula 10 Mei sehingga 6 Jun depan sementara larangan-larangan lain berkuatkuasa 12 Mei hingga 7 Jun depan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi beliau sebentar tadi.

Sementara itu Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi pula memaklumkan sebanyak 88 kes positif baharu direkodkan di negeri Melaka hari ini.

Tambah JKNM, daripada 88 kes itu, 78 daripadanya adalah daripada kategori kes tempatan, sembilan kes adalah kes import manakala satu lagi adalah kes banduan/ PATI.

Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 47 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 659 kes masih dirawat di Hospital Melaka dengan 42 kes adalah daripada kes ICU dan enam kes lagi kategori bantuan alat pernafasan.

Menurut laporan itu lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Telok Mas, Tembok Sungai Udang, Taman Malim Jaya, Jalan Gapam, Pengkalan Batik, Jalan Pokok Mangga, Jalan Melaka Raya, Kota Syahbandar, Jalan Kesidang, Teknologi Ayer Keroh, Kampung Hilir Air Gajah, Air Budi, Seri Jati, Kluster Sebatu, Jalan Emas, Jalan Dahlia Lima, Kopitiam Machap Baru, Jalan PKAK Ayer Keroh dan Jalan Limbungan Jaya.

Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 14 mukim berada di zon hijau, 11 mukim berada di zon kuning, empat mukim dalam zon jingga dan dua mukim dalam kategori zon merah iaitu mukim Machap dan Sungai Baru Ilir.

Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, tiga mukim berada di dalam zon hijau, 21 mukim lagi di dalam zon kuning, tiga mukim dalam zon jingga dan dua mukim lagi dalam zon merah iaitu mukim Bandar Melaka dan mukim Bukit Katil.

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 10 mukim adalah di dalam zon hijau, sementara 10 lagi adalah dalam zon kuning dan satu di dalam zon merah iaitu Mukim Sebatu.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 3807 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1149 diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 649 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 444,484 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .