Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Lelaki 31 tahun maut selepas tiga hari disahkan positif

493
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 25 Jun: Seorang lelaki berusia 31 tahun yang berasal dari Mukim Durian Tunggal Daerah Alor Gajah meninggal dunia hanya selepas tiga hari disahkan positif Covid-19.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM mangsa kematian tunggal hari ini yang disahkan positif pada 23 Jun lepas itu mengalami gejala demam dan sesak nafas, namun tiada sejarah penyakit kronik.

Kes positif baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 223 kes positif baharu direkodkan hari ini berbanding 247 kes semalam di mana 221 kes daripadanya adalah daripada kategori tempatan, manakala dua kes lagi adalah daripada kategori kes import.

Menurut JKNM daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 139 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 26 kes di Daerah Jasin dan 58 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 220 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1766 kes masih dirawat berbanding 1793 semalam dengan 78 kes adalah daripada kes ICU dan 17 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kluster

Selain itu JKNM melaporkan terdapat pertambahan satu kluster baharu hari ini iaitu Kluster Jalan Nirwana-2.

Kluster yang dikesan di Daerah Melaka Tengah ini merupakan kluster tempat kerja dengan 23 kes dikesan positif daripada 88 kontak rapat yang disaring.

JKNM turut melaporkan sebanyak 36 kluster masih aktif di Negeri Melaka.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 5812 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 5841 kes semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2187 kes hari ini, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 771 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 82 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 84 kes semalam sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 722,659 kes.