Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Kluster baharu Tembok Sungai Udang-2

204
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 20 Jun: Terdapat penambahan satu lagi kluster baharu di Melaka pada hari ini iaitu Kluster Tembok Sungai Udang-2, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, kes indeks yang merupakan banduan yang baru sahaja dipindah masuk ke dalam blok kuarantin PSU telah mengalami gejala demam, batuk dan selsema.

Tambah JKNM lagi, seramai 256 kontak rapat dikenalpasti di dalam kluster ini dengan 81 kes dikesan dan dikenalpasti melalui saringan kontak rapat namun tiada kontak rapat staf PSU.

Kesemua kes ini berada di dalam blok kuarantin dan kerja-kerja disinfeksi keseluruhan telah dijalankan oleh pihak Bomba.

Selain itu terdapat 32 kluster aktif di negeri Melaka (termasuk satu kluster baharu), sementara tiga lagi adalah kluster luar Melaka.

Terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu 13 kes bagi Kluster Industri Kelemak; tujuh kes bagi Kluster Industri Batu Berendam; tujuh kes bagi Kluster Jalan Tun Fatimah; lima kes bagi Kluster Bukit Godek; dua kes bagi Kluster Industri Jalan Usaha Merlimau; dua kes Kluster Industri Ayer Keroh dan satu kes bagi Kluster Industri Jalan P1 Ayer Keroh.

Kes jangkitan baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 183 kes positif baharu direkodkan hari ini berbanding 134 kes semalam di mana 120 kes daripadanya adalah daripada kategori tempatan, tiga kes adalah daripada kategori import sementara 60 kes lagi adalah daripada kategori banduan / OKT.

Menurut JKNM daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 128 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 26 kes di Daerah Jasin dan 29 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 118 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1647 kes masih dirawat berbanding 1582 semalam dengan 72 kes adalah daripada kes ICU dan 14 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 5293 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, lebih rendah daripada semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1680 kes hari ini, namun lebih rendah daripada semalam diikuti oleh Negeri Sembilan yang mencatatkan 693 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 60 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 72 semalam sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 696,408 kes.