Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka : Kluster baharu Pusat Dialisis Masjid Tanah!

539
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 9 Feb : Satu lagi kluster baharu dikesan di Daerah Alor Gajah iaitu Kluster Dialisis Masjid Tanah, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Telegram rasminya sebentar tadi.

Menurut laporan itu, kluster ini melibatkan pesakit dan pekerja sebuah Pusat Dialisis di Masjid Tanah yang berpunca daripada kes indeks daripada kes PKD Rembau.

Tambah laporan itu lagi seramai 100 orang kontak rapat telah disaring di mana 22 kes disahkan positif sementara 78 kes lagi negatif dan siasatan serta kawalan sedang dijalankan secara terperinci.

Selain Kluster Dialisis Masjid Tanah, kluster lain yang masih aktif di Negeri Melaka menurut laporan itu lagi ialah Kluster Telok Mas, Kluster Anak Air, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Dialisis Malim, Kluster Tembok Kemus, Kluster Pantai Peringgit, Kluster Jalan Usaha, Kluster Bukit Sebukor, Kluster Serkam Tengah, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Tapak Bina Bali Residence, Kluster Bukit Palah, Kluster Jalan Kejora, Kluster Jalan Masjid Tanah dan Kluster Industri Serkam sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka pula ialah Kluster Jalan Harapan dan Kluster Industri TTJ Negeri Sembilan.

JKNM juga melaporkan sebanyak 203 kes baharu dikesan di Negeri Melaka hari ini dengan 173 daripadanya adalah kes tempatan, tiga kes Import B sementara 27 lagi kes banduan/OKT/PATI.

Tambah laporan itu lagi, berdasarkan daerah, daripada 203 kes itu, 36 kes dikesan di Melaka Tengah, lapan kes di Alor Gajah sementara 159 kes lagi dikesan di Jasin.

JKNM juga melaporkan sebanyak 156 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, 1780 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC termasuk 10 kes ICU sementara lapan kes lagi dibantu dengan alat penafasan.

Bagi status zon-zon di mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, tujuh mukim berada di zon hijau, 23 mukim lagi berada di zon kuning, tiada mukim berada di dalam zon jingga manakala satu mukim dalam zon merah iatu mukim Sungai Baru Tengah (82 kes)

Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, tiga zon hijau; 17 mukim di dalam zon kuning; lima mukim di dalam zon jingga; dan empat mukim lagi di dalam zon merah iaitu mukim Bachang (48 kes), Bandar Melaka (66 kes), Batu Berendam (55 kes) dan Sungai Udang (48 kes).

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, lima adalah di dalam zon hijau; 14 adalah dalam zon kuning; satu mukim dalam zon jingga dan satu mukim dalam zon merah iaitu Serkam (1290 kes).

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 2764 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor hari ini masih mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri dengan mencatat sebanyak 862 kes, diikuti oleh Johor yang mencatatkan 521 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 248,316 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.