Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Kluster baharu lagi, Kluster Jalan Tun Fatimah

145
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 16 Jun : Satu lagi kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Jalan Tun Fatimah di dalam Daerah Melaka Tengah.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu kluster yang merupakan kluster tempat kerja ini melibatkan sebuah pasar.

Kata laporan itu kes indeks adalah peniaga pasar yang merupakan kontak rapat kepada ahli keluarga yang positif dan seterusnya jangkitan menular di pasar tersebut.

Setakat ini seramai 465 kontak rapat telah disaring dan 31 orang telah dikesan positif sementara saringan kontak rapat masih diteruskan oleh PKD.

“Pasar diarahkan tutup untuk tujuan sanitasi menyeluruh, pengesanan dan siasatan kes,” ujar JKNM.

Selain itu JKNM menambah bahawa terdapat 30 kluster aktif di negeri Melaka (kluster Melaka) dan satu kluster Luar Melaka.

Terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu 15 kes daripada Kluster Industri Batu Berendam; empat kes bagi Kluster Pengkalan Balak; 21 kes daripada Kluster Industri Jalan Usaha Merlimau dan satu kes dari Kluster Industri Bukit Nian.

Kes jangkitan baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 152 kes jangkitan baharu direkodkan hari ini di mana 150 kes daripadanya adalah daripada kategori tempatan, sementara dua kes lagi adalah daripada kategori import.

Menurut JKNM daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 60 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 68 kes di Daerah Jasin dan 25 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 274 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1494 kes masih dirawat dengan 66 kes adalah daripada kes ICU dan 19 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Kes kematian

Tiga lagi kes kematian baharu direkodkan di negeri Melaka hari ini melibatkan dua lelaki dan seorang wanita.

Kes pertama melibatkan seorang wanita berumur 64 tahun daripada Mukim Ujung Pasir, Daerah Melaka Tengah.

Kes kedua melibatkan seorang lelaki berumur 60 tahun daripada Mukim Balai Panjang, Daerah Melaka Tengah.

Dan kes ketiga melibatkan seorang lelaki berumur 53 tahun daripada Mukim Serkam dalam Daerah Jasin.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 5150 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, lebih rendah daripada semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri sebanyak 1914 kes hari ini, lebih rendah daripada semalam diikuti oleh Negeri Sembilan yang mencatatkan 607 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 73 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 673,026 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.