Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Kluster baharu Kampung Kemuning Alor Gajah

265
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 18 Mei : Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan satu lagi kluster baharu hari ini iaitu Kluster Kampung Kemuning, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM kluster ini dikategorikan sebagai kluster keagamaan melibatkan Daerah Alor Gajah di mana kes indeks kluster ini dikesan positif setelah menjalani saringan bergejala di klinik swasta.

“Pengesanan kontak rapat dan aktiviti kawalan telah dijalankan oleh PKD. Jangkitan di dalam kluster ini dikenalpasti berpunca dari pergaulan semasa acara keagamaan di sebuah madrasah pada bulan Ramadan.

“Sehingga 18 Mei, jumlah kes keseluruhan bagi kluster ini sebanyak 24 kes positif. Seramai 112 kontak rapat telah dikesan dan disaring.

“Hasil keputusan saringan adalah 24 kes dikesan positif; 44 adalah negatif dan 44 individu pending,” kata laporan itu.

Tambah laporan itu, kluster lain yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Telok Mas, Tembok Sungai Udang, Taman Malim Jaya, Pengkalan Batik, Jalan Pokok Mangga, Jalan Melaka Raya, Kota Syahbandar, Jalan Kesidang, Teknologi Ayer Keroh, Kampung Hilir Alor Gajah, Air Budi, Seri Jati, Sebatu, Jalan Emas, Jalan Dahlia Lima, Kopitiam Machap Baru, Jalan PKAK Ayer Keroh, Jalan Limbungan Jaya, Jalan Serkam, Tanjung Rimau dan Jalan Semabok.

Terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu enam kes bagi Kluster Kampung Hilir; satu kes bagi Kluster Air Budi; dua kes bagi Kluster Kopitiam Machap Baru dan tiga kes bagi Kluster Sebatu.

Mukim-mukim dalam Negeri Melaka yang berada di dalam zon merah hari ini ialah mukim Machap, Sungai Baru Ilir dan Sungai Baru Tengah di Daerah Alor Gajah; mukim Bandar Melaka dan Bukit Katil bagi Daerah Melaka Tengah; sementara bagi Daerah Jasin pula ialah mukim Merlimau dan Sebatu.

Selain itu, menurut laporan itu lagi, sebanyak 127 kes positif baharu dilaporkan JKNM hari ini dengan 124 kes adalah daripada kategori tempatan dan tiga kes lagi adalah daripada kes import.

Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 100 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 915 kes masih dirawat dengan 34 kes adalah daripada kes ICU dan tujuh kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 4865 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor masih mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1743 kes diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 512 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 479,421 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .