Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Kluster baharu Jalan Pulau Sebang

49
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 12 Okt: Satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Jalan Pulau Sebang yang dikesan di Mukim Pulau Sebang dalam Daerah Alor Gajah.

Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, kluster ini yang merupakan kluster tempat kerja melibatkan sebuah premis perniagaan dengan 37 kes positif direkodkan sementara punca jangkitan adalah secara sporadik dan merebak ke tempat kerja.

Laporan kes positif baharu

Tambah JKN Melaka lagi, sebanyak 195 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan 183 daripadanya adalah daripada kategori kes tempatan, satu kes daripada kategori import A, sembilan kes daripada kes import B dan dua kes kategori banduan/OKT/PATI.

Menurut laporan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 148 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 29 kes di Daerah Jasin dan 18 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 418 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan sebanyak 3198 kes masih dirawat, berkurang berbanding 3421 kes semalam dengan 17 kes adalah daripada kes ICU dan 14 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kematian

Tiada kes kematian direkodkan hari ini.

Laporan seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan sebanyak 7276 kes baharu direkodkan hari ini meningkat berbanding 6709 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah sebanyak 2,353,579 kes.

Selangor menjadi negeri yang mencatatkan kes tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1302 kes, diikuti oleh Kelantan dengan 1028 kes, Sarawak (834), Sabah (707), Johor (665), Kedah (517) dan Terengganu (420).

Pulau Pinang pula merekodkan 406 kes, Pahang (384), Perak (336), Kuala Lumpur (253), Negeri Sembilan (138), Perlis (57), Putrajaya (32), sementara Labuan pula merekodkan dua kes.