Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Kluster baharu Jalan Merbok Ayer Keroh

419
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 21 Jun: Satu lagi kluster baharu dikesan di Negeri Melaka hari ini iaitu Kluster Jalan Merbok Ayer Keroh, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM kluster ini yang merupakan kluster tempat kerja melibatkan 21 kes yang dikesan dan disahkan positif Covid-19, terdiri daripada enam warganegara Malaysia dan 15 bukan warganegara.

Punca jangkitan terhadap indek kes masih dalam siasatan manakala seramai 117 orang kontak rapat telah disaring sehingga kini.

Sementara itu JKNM melaporkan terdapat 33 kluster aktif di negeri Melaka dan tiga kluster aktif luar Melaka.

Terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu 10 kes bagi Kluster Industri Batu Berendam; dua kes bagi Kluster Industri Pengkalan Balak; tiga kes bagi Kluster Industri Jalan Mawar; lapan kes bagi Kluster Industri Jalan Usaha Merlimau; satu kes bagi Kluster Industri Ayer Keroh; satu kes bagi Kluster Industri Teknologi Cheng 28; empat kes bagi Kluster Bukit Godek dan 76 kes bagi Kluster Tembok Sungai Udang-2.

Selain itu, Kluster Air Budi diumumkan tamat pada hari ini dengan mengumpul sebanyak 67 kes secara keseluruhan.

Kes positif baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 205 kes positif baharu direkodkan hari ini berbanding 183 kes semalam di mana 126 kes daripadanya adalah daripada kategori tempatan, dua kes adalah daripada kategori import sementara 77 kes lagi adalah daripada kategori banduan / OKT.

Menurut JKNM daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 155 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 13 kes di Daerah Jasin dan 37 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 108 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1743 kes masih dirawat berbanding 1647 semalam dengan 70 kes adalah daripada kes ICU dan 14 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Kes kematian

Sementara itu seorang wanita berusia 45 tahun daripada Mukim Bukit Katil, dalam Daerah Melaka Tengah menjadi korban terbaru Covid-19 Negeri Melaka hari ini.

Mangsa yang disahkan menghidap Covid-19 pada 19 Jun lepas itu yang tidak mempunyai sejarah sebarang penyakit kronik itu selain mengalami gejala batuk dan sesak nafas.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 4611 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 5293 kes semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1346 kes hari ini, diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 682 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Negeri Perlis.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 69 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 60 kes semalam sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 701,019 kes.