Oleh : Ibnu Janie
MASJID TANAH, 28 Jan : Satu kluster baharu dilaporkan di negeri Melaka hari ini iaitu Kluster Jalan Kejora, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Telegram rasminya sebentar tadi.
Menurut laporan itu, jangkitan disyaki daripada komuniti dari kawasan zon merah yang mempunyai sejarah pergerakan ke Negeri Kedah.
Tambah laporan itu lagi, Kluster Jalan Kejora ini melibatkan saringan seramai 248 orang kontak rapat di mana 36 orang telah didapati positif, 205 orang negatif sementara lima kes lagi masih menunggu keputusan.
Tambah JKNM lagi, selain Kluster baharu Jalan Kejora, kluster lain yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Serkam Tengah, Kluster Pantai Peringgit, Kluster Dialisis Malim, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Rambai, Kluster Telok Mas, Kluster Anak Air, Kluster Tembok Kemus, Kluster Bukit Sebukor, Kluster Jalan Usaha, Kluster Tapak Bina Bali Residence dan Kluster Tembok Sungai Udang, sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka pula ialah Kluster Jalan Harapan dan Kluster Tanjung Megah.
Laporan itu juga menyebut sebanyak 73 kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri Melaka hari ini dengan 67 daripadanya adalah kes tempatan manakala enam lagi adalah daripada kes Import B.
JKNM juga melaporkan, sebanyak 1160 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC hari ini termasuk sembilan kes ICU sementara lima kes lagi dibantu dengan alat penafasan.
Bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 11 mukim berada di zon hijau, 20 mukim lagi berada di zon kuning dan tiada mukim berada di dalam zon jingga atau merah.
Sementara bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, tiada zon hijau; 18 mukim di dalam zon kuning; empat mukim di dalam zon jingga; dan tujuh mukim lagi di dalam zon merah iaitu mukim Bachang (123 kes), Bandar Melaka (266 kes), Batu Berendam (108 kes), Bukit Baru (96 kes), Bukit Katil (73 kes), Cheng (41 kes) dan Sungai Udang (58 kes).
Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, empat adalah di dalam zon hijau; 14 adalah zon kuning; tiga mukim dalam zon jingga dan tiada mukim dalam zon merah.
Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 4094 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini di mana Selangor mencatat kes tertinggi antara negeri semula dengan merekod 1577 kes dan diikuti oleh Johor yang mencatatkan 717 kes.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 198,208 kes manakala semua negeri atau wilayah dilaporkan ada merekodkan kes baharu hari ini.