Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Kluster baharu Jalan Alor Gajah Lama dari aktiviti masjid

387
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 4 Jun : Satu lagi kluster baharu dikesan di Negeri Melaka hari ini iaitu Kluster Jalan Alor Gajah Lama yang merebak daripada aktiviti masjid dan ziarah hari raya.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu, kes indeks kluster ini yang merupakan kontak kepada seorang jemaah masjid berkenaan yang bergejala dan dikesan positif di Daerah Petaling telah dikesan positif setelah menjalani saringan bergejala di klinik swasta.

“Siasatan mendapati sebahagian mereka menjalankan aktiviti bersama di masjid terbabit, merebak di komuniti akibat aktiviti ziarah hari raya,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, setakat hari ini 73 kontak rapat telah dikesan dengan 26 orang telah disahkan positif.

Sementara itu terdapat pertambahan kes bagi 34 kluster sedia ada yang masih aktif iaitu 21 kes bagi Kluster Industri Pengkalan Balak; 23 kes Kluster Industri Batu Berendam; dua kes bagi Kluster Industri Kelemak; satu kes Kluster Batu 16 Bemban; tiga kes Kluster Kampung Hilir Alor Gajah; dua kes bagi Kluster Jalan Semabok; satu kes bagi Kluster Paya Rumput Utama dan dua kes bagi Kluster Taman Kesang Indah.

Selain itu JKNM turut melaporkan bahawa Kluster Seri Jati diumumkan tamat pada hari ini dengan seramai 16 kes positif terkumpul.

Jangkitan baharu

Tambah laporan itu lagi sebanyak 234 kes jangkitan baharu direkodkan hari ini dengan itu 228 kes adalah daripada kategori tempatan dan enam kes lagi daripada kategori kes import.

JKNM turut melaporkan bahawa daripada keseluruhan kes baharu itu juga 135 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 25 kes di Daerah Jasin dan 74 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 347 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 2076 kes masih dirawat dengan 69 kes adalah daripada kes ICU dan 13 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Kes kematian

Menurut JKNM lagi sebanyak tiga kes kematian baharu direkodkan hari ini melibatkan dua lelaki dan seorang wanita.

Kedua-dua mangsa lelaki yang masing-masing berumur 79 dan 53 tahun berasal daripada Mukim Merlimau dalam Daerah Jasin sementara seorang mangsa lagi wanita berusia 73 tahun berasal daripada Mukim Bukit Baru dalam Daerah Melaka Tengah.

Kes seluruh negara

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 7748 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2612 kes diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 851 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 86 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 603,122 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.