Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Kematian terbaru – lelaki 39 tahun tiada sakit kronik

188
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 24 Jun: Sebanyak dua kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di Melaka hari ini di mana salah seorang daripadanya ialah seorang lelaki berumur 39 tahun yang tiada sejarah menghidap apa-apa penyakit kronik.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM mangsa yang berasal daripada Mukim Lendu dalam Daerah Alor Gajah itu mula disahkan Covid-19 pada 6 Jun lepas mengalami gejala demam, batuk dan cirit-birit.

Manakala seorang lagi mangsa kematian ialah seorang warga emas wanita berusia 91 tahun yang berasal daripada Mukim Semujuk dalam Daerah Jasin.

Kes positif baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 247 kes positif baharu direkodkan hari ini berbanding 180 kes semalam di mana 174 kes daripadanya adalah daripada kategori tempatan, manakala 73 kes lagi adalah daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Menurut JKNM daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 143 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 20 kes di Daerah Jasin dan 84 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 275 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1793 kes masih dirawat berbanding 1793 semalam dengan 79 kes adalah daripada kes ICU dan 18 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 5841 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 5244 kes semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2072 kes hari ini, diikuti oleh Negeri Sembilan yang mencatatkan 781 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 84 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 83 kes semalam sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 716,847 kes.