Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Dua lagi kluster diisytihar tamat

48
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 23 Okt: Dua kluster diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Industri Batu Berendam dan Kluster Industri Taman Tasik Utama.

Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, Kluster Industri Batu Berendam telah mengumpulkan sebanyak 2001 kes sementara Kluster Industri Taman Tasik Utama pula mengumpul 219 kes.

Tiada kluster baharu direkodkan hari ini manakala sebanyak 22 kluster dilaporkan masih aktif.

Laporan kes positif baharu

Tambah JKN Melaka lagi, sebanyak 223 kes positif baharu direkodkan hari ini dengan 214 daripadanya adalah daripada kategori kes tempatan, enam kes kategori banduan/OKT/PATI, tiada kes daripada kategori import A, sementara kategori kes import B pula merekodkan tiga kes.

Menurut laporan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 133 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 33 kes di Daerah Jasin dan 57 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 306 kes sembuh baharu direkodkan hari ini menjadikan sebanyak 2603 kes masih dirawat, berkurang berbanding 2686 kes semalam dengan 15 kes adalah daripada kes ICU dan dua kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kematian

Tiada kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini.

Laporan seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan sebanyak 5828 kes baharu direkodkan hari ini berkurang berbanding 6630 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah sebanyak 2,426,050 kes.

Selangor menjadi negeri yang mencatatkan kes tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1039 kes, diikuti oleh Sabah dengan 592 kes, Sarawak (587), Kelantan (544) dan Johor (503).

Sementara Perak pula merekodkan 411 kes, Terengganu (398), Kedah (345), Pulau Pinang (338), Pahang (335), Kuala Lumpur (252), Negeri Sembilan (199), Perlis (39), Putrajaya (20), sementara Labuan pula hanya merekodkan tiga kes.