Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Bayi 11 bulan dan remaja 16 tahun antara 9 maut hari ini

187
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 2 Ogos: Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan remaja lelaki berusia 16 tahun, kedua-duanya dari Daerah Alor Gajah, adalah antara sembilan kes kematian yang direkodkan di negeri Melaka hari ini.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, bayi perempuan yang berasal dari Mukim Sungai Baru Ulu itu mempunyai sejarah penyakit vein of galen malformation with obstructive hydrocephalus sementara remaja lelaki itu pula berasal dari Mukim Klemak dan tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit.

Tambah laporan itu, tujuh lagi kes kematian pula melibatkan lima kes yang direkodkan di Daerah Alor Gajah, dan masing-masing satu kes direkodkan di Daerah Melaka Tengah dan Jasin.

Kes positif baharu

Menurut laporan itu, daripada 463 kes positif baharu yang dikesan di negeri ini hari ini, 419 kes adalah daripada kategori kes tempatan, dua kes daripada kategori kes import dan 42 kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Kata jabatan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 141 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 76 kes di Daerah Jasin dan 246 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 247 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 5847 kes masih dirawat hari ini berbanding 5631 semalam dengan 90 kes adalah daripada kes ICU dan 27 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 463 kes hari ini ialah, 44 kes melibatkan kluster kilang; 265 kes kontak keluarga; 42 kes melibatkan Institusi Penjara; 33 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang sementara 63 kes saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Laporan kluster

Tiada kluster baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 14.2 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 7.0 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 15,764 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 17,150 kes semalam.

Selain itu, 219 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 160 kes semalam, sementara 11,767 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 11,326 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 199,051 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,146,186 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 6067 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 1536 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.