Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 8 kes kematian, semua di Daerah Melaka Tengah

197
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 9 Ogos: Sebanyak lapan kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan kesemuanya dikesan di Daerah Melaka Tengah, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada tiga orang wanita dan lima lelaki yang berusia antara 41 dan 71 tahun.

Kes positif baharu

Menurut laporan itu lagi, sebanyak 360 kes positif baharu dikesan di negeri ini hari ini, di mana 357 kes adalah daripada kategori kes tempatan, dua kes daripada kategori kes import dan satu kes bagi kategori banduan/OKT/PATI.

Kata laporan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 216 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 90 kes di Daerah Jasin dan 54 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 400 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 5578 kes masih dirawat dengan 121 kes adalah daripada kes ICU dan 29 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 360 kes hari ini ialah, 32 kes melibatkan kluster kilang; 165 kes melibatkan kontak keluarga; satu kes melibatkan institusi penjara; 25 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang, sementara 71 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Ĺaporan kluster

Tiada kluster baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 15.8 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 8.8 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 17,236 kes positif baharu, 212 kes kematian baharu dan 15,187 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 227,230 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,279,776 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 5740 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 1567 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.