Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 636 kes positif, 2 kematian baharu

141
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 29 Ogos: Sebanyak 636 kes positif dan dua kes kematian baharu Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Kata laporan itu lagi, daripada 636 kes positif baharu itu, 624 kes adalah daripada kategori kes tempatan dan masing-masing enam kes daripada kategori kes import B dan kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 355 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 96 kes di Daerah Jasin dan 185 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 789 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 7995 kes masih dirawat dengan 85 kes adalah daripada kes ICU dan 20 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 636 kes hari ini ialah, 301 kes melibatkan kluster kilang; 213 kes melibatkan kontak keluarga; enam kes melibatkan institusi penjara; 35 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 79 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Kes kematian

Menurut JKN Melaka, hanya dua kes kematian baharu direkodkan pada hari ini dengan kes pertama melibatkan mangsa lelaki berumur 79 tahun dari Mukim Tanjung Minyak, Daerah Melaka Tengah, manakala kes kedua pula melibatkan mangsa wanita berumur 86 tahun dari Mukim Nyalas, Daerah Jasin.

Laporan kluster

Satu kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Industri Jalan PK34 iaitu kluster tempat kerja (kilang) yang dikesan di Mukim Krubong, Daerah Melaka Tengah dengan 80 kes positif direkodkan setakat ini.

Pengumuman khas JKN Melaka

JKN Melaka turut mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos ini individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Menurut jabatan itu lagi, seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 14.5 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 19.2 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 20,579 kes positif baharu, 285 kes kematian baharu dan 20,845 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 267,997 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,706,089 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 4591 kes, diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 2578 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.