Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 526 kes positif, 3 kluster baharu

121
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 14 Jul: Sebanyak 526 kes positif dan tiga kluster baharu direkodkan di negeri ini hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, daripada 526 kes positif baharu itu, 408 kes adalah daripada kategori kes tempatan, lapan kes daripada kategori kes import, sementara 110 kes lagi adalah kes banduan/OKT/PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 325 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 114 kes di Daerah Jasin dan 87 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 206 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 3777 kes masih dirawat berbanding 3458 semalam dengan 87 kes adalah daripada kes ICU dan 28 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

JKNM turut mendedahkan lima punca utama jangkitan bagi kes hari ini iaitu kluster kilang – 66 kes; pekerja – 26 kes; keluarga – 37 kes; sosial – tiga kes; kontak keluarga – 236 kes; institusi penjara – 120 kes; tempat kerja bukan kilang – 45 kes; saringan bergejala – 41 kes, sementara selebihnya adalah lain-lain saringan.

Laporan kluster

JKNM turut melaporkan terdapat tiga pertambahan kluster baharu hari ini iaitu Kluster Jalan D’Aranjo, Kluster Jalan Lebuh Ayer Keroh dan Kluster Jalan Jasin Bestari.

Kluster Jalan D’Aranjo adalah kluster yang melibatkan komuniti dengan 26 orang telah disahkan positif.

Kluster Jalan Lebuh Ayer Keroh pula dikesan di Daerah Melaka Tengah melibatkan tempat kerja iaitu sebuah restoran dengan 33 kes telah disahkan positif.

Kluster Jalan Jasin Bestari pula dikesan di Daerah Jasin melibatkan kluster tempat kerja iaitu sebuah pasar raya dengan 47 orang telah disahkan positif.

Laporan kematian

JKNM juga melaporkan satu kes kematian direkodkan di negeri ini hari ini namun sehingga saat berita ini diterbitkan tiada perincian dikeluarkan oleh jabatan ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 3,848,376 orang rakyat Malaysia telah mengambil dua doz lengkap vaksin sehingga semalam, dengan jumlah vaksin harian seramai 424,541 orang.

KKM juga melaporkan sebanyak 11,618 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 11,079 kes semalam.

Selain itu, 118 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 125 kes semalam, sementara 6377 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 5990 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 101,359 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 867,567 kes.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 5051 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 1749 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.