Oleh IBNU JANIE
MASJID TANAH, 24 Mac : Sebanyak 52 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya sebentar tadi.
Menurut laporan itu daripada 52 kes itu 48 kes adalah daripada kategori tempatan manakala empat kes lagi ialah kes import.
JKNM juga melaporkan sebanyak dua kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 228 kes masih dirawat di Hospital Melaka termasuk dua kes ICU dan satu lagi rawatan dengan bantuan alat pernafasan.
Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Kampung Gedang, Kluster Telok Mas, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Teknologi Berendam, Kluster Jalan Haji Malek, Kluster Teknologi Lot Enam dan Kluster DTI Machap Umboo sementara kluster luar yang ada kaitan dengan kes Melaka ialah Kluster Jalan Satang (HKL).
Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 28 mukim berada di zon hijau dan hanya tiga mukim lagi berada di zon kuning.
Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, 15 mukim di dalam zon hijau, 12 mukim lagi di dalam zon kuning, dan masing-masing satu mukim dalam zon jingga dan zon merah.
Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 18 mukim adalah di dalam zon hijau, sementara tiga lagi adalah dalam zon kuning.
Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 1268 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor masih mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 490 kes, diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 141 kes.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 336,808 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.