Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 4 kematian, 342 kes positif baharu hari ini

128
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 25 Ogos: Sebanyak empat kes kematian dan 342 kes positif baharu Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, daripada empat kes kematian baharu yang direkodkan hari ini, tiga kes dikesan di Daerah Melaka Tengah dan satu kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki yang berusia antara 44 dan 83 tahun.

Kes positif baharu

Kata laporan itu lagi, daripada 342 kes positif baharu itu, 339 kes adalah daripada kategori kes tempatan, tiga kes daripada kategori kes import B dan tiada kes bagi kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 221 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 50 kes di Daerah Jasin dan 71 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 597 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 8661 kes masih dirawat dengan 88 kes adalah daripada kes ICU dan 28 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 342 kes hari ini ialah, 48 kes melibatkan kluster kilang; 118 kes melibatkan kontak keluarga; tiada kes melibatkan institusi penjara; 15 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 129 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Laporan kluster

Tiada kluster baharu direkodkan hari ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 18.6 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 13.6 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 22,642 kes positif baharu, 265 kes kematian baharu dan 20,798 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 264,292 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,616,244 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 6325 kes, diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 3224 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.