Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 33 maut hari ini!

308
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 26 Ogos: Sebanyak 33 kes kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, daripada 33 kes kematian baharu yang direkodkan hari ini, 21 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, tujuh kes dikesan di Daerah Alor Gajah sementara lima kes lagi dikesan di Daerah Jasin.

Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada 11 wanita dan 22 lelaki yang berusia antara 30 dan 86 tahun.

Kes positif baharu

Kata laporan itu lagi, sebanyak 515 kes positif baharu direkodkan hari ini di mana 511 kes adalah daripada kategori kes tempatan, tiga kes daripada kategori kes import B, satu kes bagi kes import A dan tiada kes bagi kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 356 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 73 kes di Daerah Jasin dan 86 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 573 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 8392 kes masih dirawat dengan 87 kes adalah daripada kes ICU dan 22 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 515 kes hari ini ialah, 106 kes melibatkan kluster kilang; 196 kes melibatkan kontak keluarga; tiada kes melibatkan institusi penjara; sembilan kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 158 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Laporan kluster

Satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Industri Jalan Merdeka 33 yang merupakan kluster tempat kerja yang melibatkan sebuah kilang di Batu Berendam.

Punca jangkitan dipercayai sebagai jangkitan sporadik dan telah menular ke tempat kerja dan ahli keluarga dengan 33 kes disahkan positif setakat ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 18.8 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 13.8 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 24,599 kes positif baharu, 393 kes kematian baharu dan 22,657 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 265,841 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,640,843 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 6936 kes, diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 3487 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.