Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 329 kes, 6 kematian, 2 kluster baharu lagi

295
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 24 Mei : Melaka hari ini mencatat 329 kes baharu Covid-19 di samping enam lagi kes kematian dan dua kluster baharu.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM daripada 329 kes baharu hari ini 197 kes dikesan di Daerah Alor Gajah; 89 kes di Daerah Melaka Tengah dan 43 kes lagi daripada Daerah Jasin.

JKNM turut melaporkan daripada keseluruhan kes itu juga sebanyak 322 kes adalah daripada kategori tempatan dan tujuh kes lagi daripada kes import.

Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 82 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1630 kes masih dirawat dengan 55 kes adalah daripada kes ICU dan 15 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Sementara bagi kes kematian hari ini pula melibatkan empat lelaki dan dua wanita di mana tiga daripadanya ialah warga emas dan yang termuda ialah seorang lelaki berumur 27 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis.

Menurut laporan itu lagi sebanyak dua kluster baharu dikesan hari ini iaitu Kluster Jalan Usaha Tujuh dan Kluster Industri Pengkalan Balak.

Kluster Jalan Usaha Tujuh dikesan di Daerah Melaka Tengah melibatkan tempat kerja dan disyaki jangkitan komuniti ke tempat kerja di mana sehingga kini 38 kes positif direkodkan sementara tiga lagi negatif.

Kluster kedua iaitu Kluster Industri Pengkalan Balak dikesan di Daerah Alor Gajah melibatkan Industri iaitu jangkitan dari komuniti ke tempat kerja di mana 146 kes disahkan positif.

Mukim-mukim dalam Negeri Melaka yang berada di dalam zon merah hari ini ialah mukim Durian Tunggal, Kelemak, Kemuning, Sungai Baru Ilir dan Sungai Baru Tengah di Daerah Alor Gajah; mukim Balai Panjang, Bandar Melaka, Batu Berendam, Bukit Katil, Bukit Rambai dan Sungai Udang bagi Daerah Melaka Tengah; sementara bagi Daerah Jasin pula ialah mukim Merlimau.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan 6509 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2049 kes diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 530 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 61 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 518,600 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .