Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 3 kes baharu sahaja hari ini

263
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 4 Mac : Hanya tiga kes baharu sahaja direkodkan di Negeri Melaka hari ini seperti yang dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya sebentar tadi.

Menurut laporan itu, daripada tiga kes tersebut, masing-masing satu kes daripada kes tempatan, kes import B dan kes banduan/OKT/PATI.

Tambah laporan itu lagi, berdasarkan daerah, daripada tiga kes itu juga, dua kes dikesan di Melaka Tengah dan satu kes lagi dikesan di Alor Gajah.

JKNM juga melaporkan sebanyak 31 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, 193 kes pula masih dirawat di Hospital Melaka termasuk enam kes ICU sementara satu kes lagi dibantu dengan alat penafasan.

Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Kampung Gedang, Kluster Telok Mas, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Bukit Palah, Kluster Jalan Masjid Tanah, Kluster Industri Serkam, Kluster Dialisis Masjid Tanah, Kluster Jalan Bukit Baru, Kluster Teknologi Berendam dan Kluster Teknologi Lot Enam sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka pula ialah Kluster Jalan Gombak dan Kluster Perindustrian Cyber Senai.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 2063 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor masih mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 630 kes, diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 361 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 307,943 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Labuan.