Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 3 kematian, 230 kes baharu

610
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 26 Mei : Tiga lagi kes kematian dan 230 kes jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu, kes pertama melibatkan seorang wanita berusia 76 tahun dari Mukim Padang Temu, Daerah Melaka Tengah.

“Kes mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Kes dikesan positif melalui saringan bergejala dan mempunyai sejarah kontak rapat kes positif (anak perempuan) daripada Kluster Pendidikan Muar,” kata laporan itu.

Kes kedua melibatkan seorang lelaki, berumur 56 tahun daripada Mukim Tangga Batu, juga dari Daerah Melaka Tengah.

“Kes mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Kes mempunyai mempunyai sejarah kontak rapat kes positif (keluarga),” kata JKNM

Bagi kes ketiga pula melibatkan seorang lelaki berusia 73 tahun daripada Mukim Tanjung Keling, Daerah Melaka Tengah.

Kes mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan Infrarenal Abdominal Aortic Aneurysm dan tiada sejarah kontak rapat kes positif atau perjalanan ke zon merah.

Menurut JKNM lagi daripada 230 kes baharu hari ini, 165 kes di Daerah Melaka Tengah, 24 kes lagi daripada Daerah Jasin dan 41 kes dikesan di Daerah Alor Gajah;

JKNM turut melaporkan daripada keseluruhan kes baharu itu juga sebanyak 227 kes adalah daripada kategori tempatan dan tiga kes lagi daripada kes import.

Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 146 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1817 kes masih dirawat dengan 53 kes adalah daripada kes ICU dan 13 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Mukim-mukim dalam Negeri Melaka yang berada di dalam zon merah hari ini ialah mukim Durian Tunggal, Kelemak, Kemuning, Sungai Baru Ilir dan Sungai Baru Tengah di Daerah Alor Gajah; mukim Balai Panjang, Bandar Melaka, Batu Berendam, Bertam, Bukit Baru, Bukit Katil, Bukit Rambai, Duyong, Krubong dan Sungai Udang bagi Daerah Melaka Tengah; sementara bagi Daerah Jasin pula ialah mukim Kesang, Merlimau dan Serkam.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan 7478 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2455 kes diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 760 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 63 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 533,367 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .