Oleh : Ibnu Janie
MASJID TANAH, 7 Feb : Sebanyak 245 daripada 313 kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri Melaka hari ini adalah daripada Kluster Industri Serkam, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Telegram rasminya sebentar tadi.
Tambah laporan itu lagi, sehingga hari ini sebanyak 866 kes kumulatif telah direkodkan bagi kluster yang mula dikesan pada 1 Februari lepas ini.
Selain Kluster Industri Serkam, kluster lain yang masih aktif di Negeri Melaka menurut laporan itu lagi ialah Kluster Telok Mas, Kluster Anak Air, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Dialisis Malim, Kluster Tembok Kemus, Kluster Pantai Peringgit, Kluster Jalan Usaha, Kluster Bukit Sebukor, Kluster Serkam Tengah, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Tapak Bina Bali Residence, Kluster Bukit Palah, Kluster Jalan Kejora dan Kluster Jalan Masjid Tanah, sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka pula ialah Kluster Jalan Harapan.
JKNM juga melaporkan, daripada 313 kes keseluruhan Negeri Melaka hari ini, 296 daripadanya adalah kes tempatan, dua kes Import B sementara 15 lagi kes banduan/OKT/PATI.
Tambah laporan itu lagi, berdasarkan daerah, daripada 313 kes itu, 49 kes dikesan di Melaka Tengah, 12 kes di Alor Gajah sementara 252 kes lagi dikesan di Jasin.
JKNM juga melaporkan sebanyak 91 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, 1514 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC hari ini termasuk 11 kes ICU sementara lapan kes lagi dibantu dengan alat penafasan.
Bagi status zon-zon di mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, lima mukim berada di zon hijau, 24 mukim lagi berada di zon kuning, tiada mukim berada di dalam zon jingga manakala satu mukim dalam zon merah iatu mukim Sungai Baru Tengah (79 kes)
Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, satu zon hijau; 19 mukim di dalam zon kuning; empat mukim di dalam zon jingga; dan lima mukim lagi di dalam zon merah iaitu mukim Bachang (60 kes), Bandar Melaka (77 kes), Batu Berendam (69 kes), Bukit Baru (40 kes), dan Sungai Udang (60 kes).
Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, lima adalah di dalam zon hijau; 14 adalah dalam zon kuning; dua mukim dalam zon jingga dan satu mukim dalam zon merah iaitu Serkam (812 kes).
Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 3731 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor hari ini masih mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri dengan mencatat sebanyak 1606 kes, diikuti oleh Johor yang mencatatkan 499 kes.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 242,452 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Wilayah Persekutuan Labuan.