Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 206 kes jangkitan, 5 kematian baharu hari ini

165
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 5 Jun : Sebanyak 206 kes jangkitan dan lima kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Tambah laporan itu lagi, daripada 206 kes jangkitan baharu direkodkan hari ini, 187 kes adalah daripada kategori tempatan, 18 kes daripada kategori kes import dan satu kes banduan/OKT.

JKNM turut melaporkan bahawa daripada keseluruhan kes baharu itu juga 134 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 24 kes di Daerah Jasin dan 48 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 327 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1950 kes masih dirawat dengan 60 kes adalah daripada kes ICU dan 11 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Kes kematian

Lima lagi kes kematian direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan empat daripadanya melibatkan warga emas.

Empat warga emas itu ialah seorang lelaki berumur 77 tahun daripada Mukim Balai Panjang, Daerah Melaka Tengah; seorang wanita berumur 81 tahun daripada Mukim Tangga Batu, Daerah Melaka Tengah; seorang wanita, 90 tahun daripada Mukim Batu Berendam, Daerah Melaka Tengah, sementara seorang lagi warga emas lelaki berumur 70 tahun berasal daripada Mukim Sebatu dalam Daerah Jasin.

Mangsa kelima pula ialah seorang wanita berusia 39 tahun berasal dari Mukim Kuala Sungai Baru dalam Daerah Alor Gajah.

Kes seluruh negara

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 7452 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, lebih rendah daripada semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2509 kes diikuti oleh Negeri Sembilan yang mencatatkan 843 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 109 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 610,574 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.