Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 2 kluster baharu libatkan kilang

131
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 14 Ogos: Dua kluster baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, iaitu Kluster Industri Jalan Berkat Sembilan dan Kluster Industri Tangga Batu, di mana kedua-dua kluster itu merupakan kluster tempat kerja melibatkan kilang.

Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu Kluster Industri Jalan Berkat Sembilan yang melibatkan sebuah kilang di Bachang merekodkan 34 kes positif sementara Kluster Industri Tangga Batu pula melibatkan 41 kes positif setakat ini.

Kes positif baharu

Tambah laporan itu lagi, sebanyak 521 kes positif baharu yang direkodkan hari ini di mana 512 kes adalah daripada kategori kes tempatan, tiga kes daripada kategori kes import B dan enam kes bagi kategori banduan/OKT/PATI.

Kata laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 395 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 73 kes di Daerah Jasin dan 52 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 388 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 6395 kes masih dirawat dengan 110 kes adalah daripada kes ICU dan 34 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 521 kes hari ini ialah, 58 kes melibatkan kluster kilang; 159 kes melibatkan kontak keluarga; enam kes melibatkan institusi penjara; 22 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang, sementara 201 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Kes kematian

Menurut JKN Melaka, sebanyak lapan kes kematian direkodkan di Negeri Melaka hari ini di mana lima kes direkodkan di Daerah Melaka Tengah, satu kes di Daerah Alor Gajah dan dua kes di Daerah Jasin.

Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada tujuh orang wanita dan seorang lelaki yang berusia antara 28 dan 84 tahun.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 16.7 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 10.1 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 20,670 kes positif baharu, 260 kes kematian baharu dan 17,655 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 243,942 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,384,353 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 6606 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 2028 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Wilayah Persekutuan Labuan.