Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 2 kluster baharu di Melaka Tengah dan Alor Gajah!

175
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 26 Apr : Dua kluster baharu direkodkan di negeri Melaka hari ini iaitu Kluster Jalan Kesidang dan Kluster Kota Syahbandar.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, Kluster Jalan Kesidang melibatkan komuniti dari daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah di mana punca jangkitan terhadap indeks kes masih dalam siasatan.

“Berkemungkinan jangkitan daripada komuniti. Kes indeks mempunyai banyak pergerakan di sekitar Melaka. Merebak dalam kalangan kontak keluarga dan kontak sosial dan kontak tempat kerja.

“Jumlah kes positif seramai 22 kes bagi kluster ini. 67 orang kontak rapat telah dikesan,” kata laporan itu.

Sementara itu, bagi Kluster Kota Syahbandar pula, JKNM menjelaskan bahawa kluster ini dikesan di Daerah Melaka Tengah.

“Punca jangkitan terhadap kes indeks ini adalah kontak rapat kepada kes positif Covid-19 di PKD Lembah Pantai.

“Jumlah kes positif seramai 12 kes bagi kluster ini. 24 orang kontak rapat telah dikesan,” tambah JKNM lagi.

Kata JKNM lagi, selain dua kluster baharu itu, kluster lain yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Telok Mas, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Jalan Kenanga, Kluster Teknologi Lot Enam, Kluster Jalan Mata Kuching, Kluster Malim Jaya, Kluster Jalan Gapam, Kluster Pengkalan Batik, Kluster Jalan Pokok Mangga, Kluster Jalan Melaka Raya, Kluster Kota Syahbandar dan Kluster Jalan Kesidang.

Sementara itu sebanyak 34 kes positif baharu direkodkan di negeri Melaka hari ini dengan kesemuanya adalah daripada kategori kes tempatan, kata JKNM.

Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 34 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 320 kes masih dirawat di Hospital Melaka dengan lapan kes ICU dan satu kes bantuan alat pernafasan.

Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 22 mukim berada di zon hijau, lapan mukim berada di zon kuning dan satu mukim dalam kategori zon merah iaitu mukim Kelemak.

Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, enam mukim di dalam zon hijau, 20 mukim lagi di dalam zon kuning, dua mukim dalam zon jingga dan satu mukim dalam zon merah iaitu mukim Bandar Melaka.

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 16 mukim adalah di dalam zon hijau, sementara lima lagi adalah dalam zon kuning.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 2776 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini.

Untuk hari ini Selangor mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 762 kes, diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 615 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 395,718 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .