Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 18 maut hari ini!

132
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 26 Jul: Sebanyak 18 kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) ini dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, daripada 18 kes kematian baharu itu, lima kes direkodkan di Daerah Alor Gajah, 10 kes di Melaka Tengah dan tiga kes lagi direkodkan di Jasin.

Secara keseluruhan mangsa terdiri daripada 12 wanita dan enam lelaki yang berusia antara 30 dan 85 tahun.

Kes positif baharu

Menurut laporan itu juga, sebanyak 373 kes positif baharu dikesan di negeri ini hari ini, di mana 366 kes adalah daripada kategori kes tempatan, tujuh kes daripada kategori kes import dan tiada kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Kata jabatan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 198 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 40 kes di Daerah Jasin dan 135 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 315 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 4070 kes masih dirawat hari ini berbanding 4030 semalam dengan 87 kes adalah daripada kes ICU dan 22 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 373 kes hari ini ialah, 68 kes melibatkan kluster kilang; 199 kes kontak keluarga; tiada kes melibatkan Institusi Penjara; 18 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang sementara 62 kes saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Laporan kluster

Dua kluster baharu didaftarkan hari ini di Melaka iaitu Kluster Industri Simpang Gading dari Daerah Alor Gajah dan Kluster Lorong Haji Lamat dari Daerah Melaka Tengah.

Kluster Industri Simpang Gading adalah kluster tempat kerja melibatkan 22 kes positif berpunca daripada pergaulan pekerja di ruang gunasama di kilang, sementara Kluster Lorong Hj Lamat pula adalah kluster komuniti melibatkan 22 kes positif di mana kes indeks adalah kontak rapat kes positif di Kuala Lumpur.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 11.8 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 5.5 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 14,516 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 17,045 kes semalam.

Selain itu, 207 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 92 kes semalam, sementara 9372 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 9683 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 165,840 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,027,954 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 6508 kes, diikuti oleh Johor yang mencatatkan 1449 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.