Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 119 kes jangkitan dan satu kematian baharu

88
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 14 Jun : Sebanyak 119 kes jangkitan dan satu kes kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini.

Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu, sebanyak 119 kes jangkitan baharu direkodkan hari ini di mana 115 kes daripadanya adalah daripada kategori tempatan sementara masing-masing dua kes daripada kategori import dan banduan/OKT.

JKNM turut melaporkan bahawa daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 71 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 28 kes di Daerah Jasin dan 20 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 220 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1682 kes masih dirawat dengan 58 kes adalah daripada kes ICU dan 17 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Kes kematian

Hanya satu kes kematian direkodkan hari ini melibatkan seorang wanita berusia 70 tahun daripada Mukim Nyalas dalam Daerah Jasin.

Mangsa yang disahkan positif pada 1 Jun lepas itu mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung dan penyakit kegagalan buah pinggang tahap lima.

Laporan kluster

Menurut JKNM lagi masih terdapat 28 kluster aktif di negeri Melaka (kluster Melaka) dan satu kluster luar Melaka.

Selain itu juga terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu 14 kes daripada Kluster Industri Batu Berendam; satu kes daripada Kluster Batu 16 Bemban; dua kes Kluster Pengkalan Balak; empat kes daripada Kluster Industri Jalan Usaha Merlimau dan satu kes daripada Kluster Kampung Hilir Alor Gajah

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 4949 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, lebih rendah daripada semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri sebanyak 1523 kes, lebih rendah daripada semalam diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 744 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 60 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 662,457 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.