Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 11 kes kematian, 569 kes positif baharu

118
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 17 Jul: Sebanyak 11 kes kematian dan 569 kes positif baharu direkodkan di negeri ini hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM daripada 11 kes kematian itu, tujuh daripadanya dikesan di Daerah Melaka Tengah melibatkan mangsa berumur antara 37 dan 82 tahun.

Tiga lagi kes kematian direkodkan di Daerah Jasin melibatkan mangsa berumur antara 49 dan 69 tahun sementara satu kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah melibatkan mangsa berumur 31 tahun.

Kes positif baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 569 kes positif baharu direkodkan di negeri ini hari ini di mana 520 kes adalah daripada kategori kes tempatan, 10 kes daripada kategori kes import, sementara 39 kes lagi adalah kes banduan/OKT/PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 424 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 40 kes di Daerah Jasin dan 105 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 334 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 4356 kes masih dirawat berbanding 4138 semalam dengan 94 kes adalah daripada kes ICU dan 22 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kluster

JKNM turut melaporkan empat kluster baharu direkodkan di negeri ini hari ini namun tiada perincian diberikan.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 9.3 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 4.3 juta telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 12,528 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 12,541 kes semalam.

Selain itu, 138 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 115 kes semalam, sementara 6629 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 6742 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 119,814 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 905,851 kes.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 4985 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 1740 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.