Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 10 kematian, 416 kes positif baharu

98
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 29 Jul: Sebanyak 10 kes kematian dan 416 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, daripada 10 kes kematian baharu yang direkodkan hari ini, satu kes direkodkan di Daerah Alor Gajah dan masing-masing empat kes direkodkan di Daerah Melaka Tengah dan Jasin.

Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada enam wanita dan empat lelaki yang berusia antara 33 dan 86 tahun.

Kes positif baharu

Menurut laporan itu juga, daripada 416 kes positif baharu yang dikesan di negeri ini hari ini, 393 kes adalah daripada kategori kes tempatan, lima kes daripada kategori kes import dan 19 kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Kata jabatan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 242 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 64 kes di Daerah Jasin dan 110 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 473 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 4551 kes masih dirawat hari ini berbanding 4630 semalam dengan 85 kes adalah daripada kes ICU dan 22 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 416 kes hari ini ialah, 53 kes melibatkan kluster kilang; 246 kes kontak keluarga; 19 kes melibatkan Institusi Penjara; 18 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang sementara 70 kes saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Laporan kluster

Satu kluster baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini iaitu Kluster Teknologi Cheng 18 yang dikesan di Daerah Melaka Tengah melibatkan kluster tempat kerja dengan 22 orang disahkan positif setakat ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 12.8 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 6.1 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 17,170 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 17,405 kes semalam.

Selain itu, 174 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 143 kes semalam, sementara 12,930 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 12,373 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 179,179 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,078,646 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 7163 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 2138 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.