Oleh : Ibnu Janie
MASJID TANAH, 25 Jan : Dukacita dimaklumkan terdapat satu kluster baharu diumumkan hari ini iaitu Kluster Bukit Palah, melibatkan Daerah Melaka Tengah dan Jasin yang bermula dengan jangkitan antara pesakit dan petugas Hospital Melaka.
Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Telegram rasminya sebentar tadi.
Setakat ini, kata JKNM, kluster yang berpunca daripada jangkitan kontak rapat kes indeks di Jempol ini melibatkan jumlah saringan seramai 168 orang di mana seramai 37 orang telah dikesan positif, 75 negatif dan 55 lagi masih menunggu keputusan.
Tambah laporan itu lagi, sebanyak 90 kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri Melaka hari ini dengan 81 daripadanya adalah kes tempatan, dua adalah daripada kes Import B sementara tujuh lagi adalah daripada kes banduan/OKT/PATI.
JKNM juga melaporkan, sebanyak 1299 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC hari ini termasuk sembilan kes ICU sementara tiga kes lagi dibantu dengan alat penafasan.
Bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 12 mukim berada di zon hijau, 19 mukim lagi berada di zon kuning dan tiada mukim berada di dalam zon jingga atau merah.
Sementara daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, tiada zon hijau; 17 mukim di dalam kuning; lima mukim di dalam zon jingga; dan tujuh mukim lagi di dalam zon merah iaitu mukim Bachang (116 kes), Bandar Melaka (264 kes), Batu Berendam (92 kes), Bukit Baru (73 kes), Bukit Katil (66 kes), Cheng (47 kes) dan Sungai Udang (44 kes).
Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, lima adalah di dalam zon hijau; 13 adalah zon kuning; dua mukim dalam zon jingga dan satu mukim lagi dalam zon merah iaitu mukim Serkam (44 kes).
Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Serkam Tengah, Kluster Pantai Peringgit, Kluster Dialisis Malim, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Rambai, Kluster Telok Mas, Kluster Anak Air, Kluster Tembok Kemus, Kluster Bukit Sebukor, Kluster Jalan Usaha, Kluster Tapak Bina Bali Residence, Kluster Tembok Sungai Udang sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka pula ialah Kluster Jalan Harapan dan Kluster Tanjung Megah.
Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 3048 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini di mana Selangor mencatat kes tertinggi antara negeri dengan merekod 1035 kes dan diikuti oleh Johor yang mencatatkan 529 kes.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan Malaysia berjumlah 186849 kes dan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.