Oleh : Ibnu Janie
MASJID TANAH, 29 Jan : Satu lagi kes kematian baharu akibat Covid-19 dilaporkan di Negeri Melaka hari ini menjadikan keseluruhan kes kematian setakat ini berjumlah sembilan kes.
Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Telegram rasminya sebentar tadi.
Laporan itu juga menyebut sebanyak 74 kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri Melaka hari ini dengan 56 daripadanya adalah kes tempatan, dua kes Import B, manakala 16 kes lagi adalah kes banduan/OKT/PATI.
Berdasarkan daerah, daripada 74 kes itu, 51 kes dikesan di Melaka Tengah, 13 kes di Alor Gajah sementara 10 kes lagi dikesan di Jasin, kata laporan itu.
JKNM juga melaporkan, sebanyak 1174 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC hari ini termasuk lapan kes ICU sementara empat kes lagi dibantu dengan alat penafasan.
Bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 11 mukim berada di zon hijau, 20 mukim lagi berada di zon kuning dan tiada mukim berada di dalam zon jingga atau merah.
Sementara bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, tiada zon hijau; 18 mukim di dalam zon kuning; lima mukim di dalam zon jingga; dan enam mukim lagi di dalam zon merah iaitu mukim Bachang (121 kes), Bandar Melaka (260 kes), Batu Berendam (97 kes), Bukit Baru (86 kes), Bukit Katil (69 kes) dan Sungai Udang (54 kes).
Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, empat adalah di dalam zon hijau; 15 adalah dalam zon kuning; dua mukim dalam zon jingga dan tiada mukim dalam zon merah.
Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Serkam Tengah, Kluster Pantai Peringgit, Kluster Dialisis Malim, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Rambai, Kluster Telok Mas, Kluster Anak Air, Kluster Tembok Kemus, Kluster Bukit Sebukor, Kluster Jalan Usaha, Kluster Tapak Bina Bali Residence dan Kluster Tembok Sungai Udang dan Kluster Bukit Palah sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka pula ialah Kluster Jalan Harapan dan Kluster Tanjung Megah.
Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 5725 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini iaitu untuk kali pertama jumlah kes harian melepasi paras lima ribu.
Selangor juga hari ini untuk kali pertama melepasi paras kes harian 3000 kes dengan mencatat sebanyak 3126 kes, tertinggi antara negeri hari ini diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 687 kes hanya tiga kes lebih tinggi daripada Johor yang mencatatkan 684 kes.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 203,933 kes manakala semua negeri atau wilayah dilaporkan ada merekodkan kes baharu hari ini.