Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka : 1 kematian baharu!

479
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 1 Feb : Satu kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini melibatkan seorang mangsa berumur 60 tahun dari mukim Klemak Daerah Alor Gajah, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Telegram rasminya sebentar tadi.

Menurut laporan itu, dengan pertambahan satu kes hari ini menjadikan jumlah kes kematian terkumpul bagi Negeri Melaka setakat ini ialah sebanyak 11 kes.

Laporan itu juga menyebut sebanyak 85 kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri Melaka hari ini dengan 84 daripadanya adalah kes tempatan, manakala satu kes lagi adalah kes banduan/OKT/PATI.

Berdasarkan daerah, daripada 85 kes itu, 38 kes dikesan di Melaka Tengah, lapan kes di Alor Gajah sementara 39 kes lagi dikesan di Jasin, kata laporan itu.

JKNM juga melaporkan sebanyak 83 kes sembuh baharu direkodkan hari ini manakala 1098 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC hari ini termasuk lima kes ICU sementara tiga kes lagi dibantu dengan alat penafasan.

Bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, lapan mukim berada di zon hijau, 22 mukim lagi berada di zon kuning, tiada mukim berada di dalam zon jingga manakala satu mukim dalam zon merah iaitu mukim Sungai Baru Tengah (76 kes)

Sementara bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, tiada zon hijau; 20 mukim di dalam zon kuning; tiga mukim di dalam zon jingga; dan enam mukim lagi di dalam zon merah iaitu mukim Bachang (127 kes), Bandar Melaka (257 kes), Batu Berendam (112 kes), Bukit Baru (90 kes), Bukit Katil (57 kes) dan Sungai Udang (60 kes).

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, empat adalah di dalam zon hijau; 14 adalah dalam zon kuning; dua mukim dalam zon jingga dan satu mukim dalam zon merah iaitu Serkam (48 kes).

Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Jalan Masjid Tanah, Kluster Serkam Tengah, Kluster Pantai Peringgit, Kluster Dialisis Malim, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Rambai, Kluster Telok Mas, Kluster Anak Air, Kluster Tembok Kemus, Kluster Bukit Sebukor, Kluster Jalan Usaha, Kluster Tapak Bina Bali Residence, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Bukit Palah dan Kluster Jalan Kejora, sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka pula ialah Kluster Jalan Harapan dan Kluster Tanjung Megah.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 4214 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor hari ini masih mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri dengan mencatat sebanyak 1362 kes, diikuti oleh Johor yang mencatatkan 1068 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 219,173 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.