Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 1 kematian, 1 kluster baharu

168
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 27 Mei : Satu kes kematian dan satu kluster baharu direkodkan di negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM kes kematian melibatkan seorang lelaki berusia 51 tahun daripada Mukim Tanjung Minyak, daerah Melaka Tengah.

“Kes tidak mempunyai latar belakang penyakit. Kes ada sejarah perjalanan ke Seremban setiap hari atas urusan kerja. Kes dikesan positif melalui saringan bergejala,” kata laporan itu.

Sementara itu terdapat pertambahan satu lagi kluster baharu diumumkan hari ini iaitu Kluster Jalan Kolej Yayasan melibatkan institusi pendidikan di Durian Tunggal, Melaka.

“Jangkitan di dalam kluster ini dikenalpasti berpunca daripada komuniti dari zon merah dan merebak melalui pergaulan pelajar semasa di fasiliti berkenaan.

“Kes indeks merupakan pelajar berusia 17 tahun yang telah pulang untuk Hari Raya Aidilfitri di Damansara, Selangor selama lapan hari. 56 kontak rapat telah disaring. 16 orang dikesan positif. Siasatan masih diteruskan,” kata JKNM.

Tambah JKNM lagi terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu 39 kes bagi Kluster Industri Batu Berendam; dua kes dari Kluster Industri Pengkalan Balak; satu kes Kluster Batu 8 Bukit Rambai; satu kes Kluster Jalan Dato Dol Said; dua kes Kluster Kampung Hilir Alor Gajah; enam kes Kluster Jalan Usaha Tujuh dan 11 kes dari Kluster Terendak Permai.

Menurut laporan itu lagi sebanyak 234 kes baharu direkodkan hari ini dengan 158 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 32 kes lagi daripada Daerah Jasin dan 44 kes dikesan di Daerah Alor Gajah;

JKNM turut melaporkan daripada keseluruhan kes baharu itu juga sebanyak 227 kes adalah daripada kategori tempatan, lima kes daripada kes import dan dua lagi kes banduan/OKT.

Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 154 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1896 kes masih dirawat dengan 61 kes adalah daripada kes ICU dan 13 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Mukim-mukim dalam Negeri Melaka yang berada di dalam zon merah hari ini ialah mukim Durian Tunggal, Kelemak, Kemuning, Sungai Baru Ilir dan Sungai Baru Tengah di Daerah Alor Gajah; mukim Balai Panjang, Bandar Melaka, Batu Berendam, Bertam, Bukit Baru, Bukit Katil, Bukit Rambai, Duyong, Krubong dan Sungai Udang bagi Daerah Melaka Tengah; sementara bagi Daerah Jasin pula ialah mukim Kesang, Merlimau, Sebatu dan Serkam.

 

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan 7857 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2675 kes diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 772 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 59 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 541,224 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

 

 

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .