Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 1 kematian, 2 kluster baharu

276
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 22 Mei : Satu kes kematian dan dua kluster baharu COVID-19 dikesan di negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM kes kematian melibatkan seorang lelaki berumur 68 tahun daripada Mukim Sungai Baru Tengah yang mempunyai latar belakang kencing manis dan hyperkolesterol dan punca kematian ialah COVID-19 pneumonia with Multiple organ failure.

Tambah laporan itu, kluster baharu pertama ialah Kluster Industri Batu Berendam iaitu kluster tempat kerja melibatkan sebuah kilang di kawasan perindustrian di Melaka Tengah.

“Punca jangkitan kes indeks masih di dalam siasatan. Bagaimanapun, jangkitan di dalam kluster ini dikenalpasti merebak di tempat kerja kerana tidak mematuhi penjarakan sosial semasa melakukan aktiviti bersama.

“Seramai 131 orang pekerja dikenalpasti di kilang terlibat, 13 kes positif, 82 negatif sementara 36 masih lagi menunggu keputusan,” ujar kenyataan itu.

Menurut laporan itu lagi, kluster kedua yang dikesan hari ini ialah Kluster Taman Kesang Indah di Daerah Jasin yang merupakan kluster keluarga yang melibatkan beberapa keluarga yang terdekat.

“Jangkitan di dalam kluster ini dikenalpasti berpunca dari aktiviti berbuka puasa beramai-ramai. Kes sehingga ini hanya membabitkan ahli keluarga sahaja.

“Sehingga 22 Mei 2021, jumlah kes positif kluster ini adalah 26 kes.19 individu negatif. 11 lagi masih menunggu keputusan,” kata laporan itu.

Mukim-mukim dalam Negeri Melaka yang berada di dalam zon merah hari ini ialah mukim Durian Tunggal, Kelemak, Machap, Sungai Baru Ilir dan Sungai Baru Tengah di Daerah Alor Gajah; mukim Bandar Melaka, Batu Berendam, Bertam dan Bukit Katil bagi Daerah Melaka Tengah; sementara bagi Daerah Jasin pula ialah mukim Merlimau.

Selain itu, menurut laporan itu lagi, sebanyak 175 kes positif baharu dilaporkan hari ini dengan 170 kes adalah daripada kategori tempatan, tiga kes daripada kes import sementara dua kes lagi adalah daripada kes Banduan/OKT.

Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 93 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1244 kes masih dirawat dengan 55 kes adalah daripada kes ICU dan 15 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan 6320 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1647 kes diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 749 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 50 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 505,115 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu.

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .