Home Rencana PAS Melaka

Coretan kak Wirda : Remaja tak tahu mandi hadas?

175
SHARE

Oleh WIRDAWATI NAZWIR

Alhamdulillah. Assalamualaikum.

Di hadapan satu unit rumah pangsa, Kak Wirda bertemu seorang remaja lelaki berusia 12 tahun pada empat tahun lalu jika tak silap. Pada waktu itu sekitar jam 2.00 petang.

Kak Wirda: Dik, dah makan tengah hari?
Remaja L : Belum.
Kak Wirda: Dah solat Zohor?
Remaja L : Belum mandi.

Kak Wirda jadi hairan dengan jawapannya. Tiga kali Kak Wirda mengulangi pertanyaan dan beliau masih memberikan jawapan yang sama.

Jawapan kali terakhirnya, barulah Kak Wirda perasan dan faham bahawa yang beliau maksudkan ialah ‘mandi wajib’.

Selepas itu, Kak Wirda mula berkenalan dengan latar belakang diri dan keluarganya. Rupa-rupanya remaja lelaki itu cuma bertandang dan lepak di rumah kawannya. Mungkin mencari kedamaian dan sedikit kasih sayang bersama kawannya.

Mungkinkah sebenarnya ramai remaja lelaki yang tidak tahu atau tahu sikit-sikit tentang mandi hadas setelah ada tanda-tanda akil baligh?

Mungkin ada remaja lelaki yang sudah menginjak usia 14-15 tahun dan sudah akil baligh tetapi tidak pernah mandi wajib.

Mereka solat dan menyentuh Al-Quran dalam keadaan berhadas besar. Mereka tidak pernah mendengar pun tentang ‘hadas besar dan mandi wajib’.

Jadi, sebagai seorang dewasa dan ibu, Kak Wirda ingin menyeru agar ibu bapa dan para guru (meskipun bukan guru subjek agama), tolonglah bersikap lebih terbuka dengan anak-anak remaja kalian. Ajarkanlah mereka tentang hadas besar dan mandi wajib.

Tanggungjawab memberi penjelasan syariah ini perlu digalas oleh setiap ibu bapa, adik beradik yang lebih dewasa dan para guru khasnya. Jika tidak, anak-anak kita kekal dalam keadaan tidak suci daripada hadas meskipun mereka mandi berjam-jam dengan buih sabun dan syampu.

Anak-anak..
Kalian pun kena bersikap terbuka tentang persoalan ibadah mandi hadas ini agar kalian lebih tenang dalam menjalani kehidupan harian.

Bertanyalah pada ibu bapa, guru subjek agama, para imam, alim ulama di tempat kalian. Moga Allah sentiasa memberkati kehidupan kalian. Amiin.

Penulis adalah Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah

#HadasBesarDanMandiWajib
#RemajaLelakiDanPerempuanKenaTahu
#MogaAnakanakSentiasaDisayangiAllah

Facebook Kak Wirda:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1198264420703926&id=100015611382039