Home Berita PAS Melaka

Cerpen BMF : Pisang Sesikat Masak Sebelanga

889
SHARE

Nukilan : Ibnu Janie

SEORANG lelaki separuh abad memasuki ruang mengambil wuduk masjid itu. Perlahan-lahan dia membuka kopiah dan cermin matanya dan meletakkanya di atas para. Kemudian lelaki itu terus mengambil wuduk.

Zikri waktu itu baru selesai mengambil wuduk apabila matanya terpandang orang tua itu.

‘Datuk Osman Jailani!’ kata Zikri dalam hati. Dia kenal orang tua itu. Seorang tokoh perniagaan Melaka yang sangat terkenal. Memiliki rangkaian pasaraya yang banyak. Dia kaya. Sangat kaya. Bukan setakat lapan keturunan, lapan belas keturunan pun makan tak habis!

Usai solat Asar berjemaah itu Zikri bersama beberapa orang lagi rakannya duduk minum di sebuah warung di depan masjid. Kebanyakan rakan-rakannya itu peniaga macam Zikri. Ada yang tauke pasar mini, ada yang tauke restoren, ada yang tauke pakaian dan bermacam-macam jenis perniagaan.

“Eh, kau orang nampak apa aku nampak tadi?” Zali bersuara. Zali sama seperti Zikri, tauke pasar mini.

“Nampak apa? Macam-macam benda aku nampak. Hehehe…” Jawab Kamal dengan nada loyar buruknya. Memang Kamal lawyer. Dia seorang peguam dan mempunyai firmanya sendiri. Dia berkawan dengan Zikri sejak dari sekolah lagi. Dia kerap melepak bersama dengan geng-geng tauke Melayu ini.

“Datuk Osman Jailani. Sebelum ni tak pernah tengok dia solat kat masjid ni. Hehehe”

“Baguslah macam tu. Itu pun jadi masalah ke Zali?” sahut Zikri pantas sambil matanya dibulatkan tanda tidak bersetuju dengan sindiran Zali terhadap Datuk Osman tadi.

“Tak ada la..” jawab Zali ringkas sambil tersengih-sengih.

“Eh, aku dengar dia ada masalah sekarang. Dengarnya dia dah jatuh miskin. Papa kedana.” sampuk Zainal yang dari tadi senyap. Zainal pula seorang tauke restoren.

“Wah… Papa kedana? Puitis betul bahasa kau Nal? Hehehe…” sahut Kamal sambil tertawa kecil.

“Miskin?” soal Zikri terkejut.

“Ye… Dengarnya dia kena tipu dengan rakan kongsi dia. Sekarang ni Pasaraya Perdana Sdn Bhd tu bukan milik dia lagi.” sambung Zainal lagi.

“Padan muka dia!” sahut Zali dengan muka jengkel.

“Tak baik cakap macam tu Zali.” Zikri cuba menenangkan sahabatnya itu.

“Eh Zikri, kau dah lupa ke apa yang dia buat dekat kita dulu? Bila kita buka je cawangan baru mesti dia akan kacau buka satu lagi cawangan baru pasaraya dia sebelah pasar mini kita. Lepas tu mentang-mentang dia syarikat besar, mentang-mentang dia beli terus dari kilang, dia turunkan harga gila-gila sampai bawah harga kos kita. Dia buang harga. Sampai orang tak datang kedai kita. Kau tak ingat ke Zikri??”

“Ingat Zali.. Ingat… Kenapa pulak aku tak ingat? Satu cawangan pasar mini aku sampai tutup sebab dia…”

“Hah, ingat pun.. habis tu?”

“Biarlah Allah swt yang membalasnya. Tapi janganlah kita cerca dia masa dia tengah susah macam ni Zali. Tak baik.” Zikri masih cuba menenangkan rakan-rakannya itu.

Bukan hati Zikri tidak sakit. Sangat sakit dengan apa yang telah dilakukan Datuk Osman pada dirinya. Tapi dia tidak mahu berdendam.

Datuk Osman memang begitu. Dia suka membunuh peniaga-peniaga Melayu lain yang bersaing dengannya, yang mempunyai perniagaan yang hampir sama dengannya. Kerana itulah Zikri sendiri kerap menjadi mangsanya.

Datuk Osman memang usahawan yang terkenal di Melaka. Dia jugalah yang menjadi Presiden Persatuan Peniaga Melayu di Melaka ini. Namun apa sahaja bantuan dan kemudahan yang kerajaan bagi melalui persatuan peniaga ini Datuk Osman sapu dulu. Sampaikan peniaga-peniaga di sini tidak berminat lagi untuk aktif dalam persatuan. Kata mereka persatuan itu hanya untuk menjaga kebajikan Datuk Osman. Bukan untuk menjaga ahli-ahli lain.

****************

Beberapa kali Zikri terserempak dengan Datuk Osman di masjid itu ketika solat jemaah. Dia cuba menegur orang tua itu. Kali ini Datuk Osman tidak lagi sombong macam dulu. Dia membalas sapaan Zikri.

Banyak kali juga Zikri sempat berbual-bual dengan Datuk Osman di masjid. Sehingga satu hari Datuk Osman sendiri mendedahkan apa yang telah berlaku pada dirinya.

“Saya dah tak ada apa Zikri. Saya kena tipu dengan rakan kongsi saya. Tak sangka dia boleh buat saya macam tu. Habis semua harta saya sekarang dah jadi hak milik dia. Nasib baiklah saya ada buka satu kedai fotostat atas nama anak saya dulu. Sekarang kami sekeluarga bergantung pada hasil kedai fotostat itu saja.” Jelas Datuk Osman tanpa berselindung.

“Datuk tak lawan di mahkamah ke?”

“Saya dah tak ada duit nak ambil lawyer Zikri.”

Tiba-tiba Zikri teringat Kamal, rakannya yang merupakan seorang peguam. Kamal juga seorang yang rajin datang berjemaah di masjid itu.

****************

Satu malam selepas solat Isyak Zikri mengajak semua rakan-rakannya minum di sebuah kedai makan berhampiran masjid. Kamal pun ada sekali. Di situ Zikri menerangkan niatnya untuk membantu Datuk Osman.

Walau pun pada peringkat awal ramai yang menentang namun Zikri berjaya meyakinkan mereka. Lebih-lebih lagi rakannya Kamal yang merupakan seorang peguam. Kamal bersetuju untuk membantu membawa kes Datuk Osman itu ke mahkamah.

****************

Petang itu lepas solat Asar di masjid, Zikri mengajak Datuk Osman berbincang bersama dengan rakan-rakannya tentang rancangan mereka untuk membantu beliau.

Datuk Osman mendengar dengan teliti. Selesai penerangan itu Datuk Osman terdiam. Dia menunduk sambil menitiskan air mata.

“Saya tak sangka awak semua sudi membantu saya.” Kata Datuk Osman sambil menyeka air matanya.

“Saya mintak maaf. Saya mengaku selama ini saya banyak buat salah dengan awak semua. Masa saya senang dulu saya banyak menindas awak semua. Saya tahu. Dan sekarang awak jugalah yang datang membantu saya. Saya minta maaf.” Datuk Osman menangis bagaikan anak kecil. Mereka yang ada di situ terharu melihatnya.

“Satu lagi, saya dengar awak semua nak tubuhkan Koperasi Muafakat Peniaga Melayu Melaka, betul ke?” tanya Datuk Osman.

“Iye Datuk. Mana Datuk tau? Tanya Zikri.

“Saya tahu.” Jawab Datuk Osman ringkas.

Zikri memang tahu yang Datuk Osman tahu tentang koperasi itu. Sengaja Zikri buat-buat tanya. Datuk Osman pula adalah watak yang cuba menghalang penubuhan koperasi ini sebelum ini kerana koperasi ini bakal mengancam perniagaannya.

Memang usahawan-usahawan di situ sedang dalam usaha untuk menubuhkan sebuah koperasi peruncit ini. Tujuan koperasi ini ditubuhkan untuk memastikan peniaga dapat membeli stok jualan mereka dengan harga yang rendah.

Koperasi peruncit ini nanti akan dimiliki syernya oleh semua peniaga-peniaga yang mahu terlibat. Jadi koperasi ini akan mengumpul semua pesanan barang-barang dari semua peniaga di kawasan ini. Oleh kerana mereka membeli dalam jumlah yang besar jadi mereka boleh terus membeli dari kilang dengan harga yang murah.

Jadi koperasi peruncit ini akan mengambil sedikit untung dan menjualnya semula kepada para peniaga yang menjadi ahli koperasi. Peniaga akan dapat membeli stok dengan harga yang murah dan keuntungan dari koperasi juga akan balik semula kepada para peniaga itu yang merupakan pemilik koperasi itu. Koperasi ini akan berfungsi seperti pemborong tetapi ia dimiliki sendiri oleh peruncit-peruncit Melayu ini. Jadi ia dapat mengurangkan fungsi orang tengah.

“Saya akui dulu sayalah yang menentang penubuhan koperasi ini. Tapi sekarang saya rasa saya boleh bantu awak semua untuk realisasikan koperasi ini. Saya kenal dengan pengurus-pengurus kilang-kilang untuk stok barang-barang yang awak semua nak beli tu. Sebenarnya bukan senang kilang-kilang ni nak berurusan dengan peniaga-peniaga kecil. Biasa mereka tak layan. Mereka akan suruh awak beli dari pemborong. Tapi saya akan cuba gunakan pengaruh saya untuk mereka setuju berurusniaga dengan koperasi yang awak semua nak tubuhkan ni.”

“Alhamdulillah… Baguslah kalau Datuk nak tolong. Kami hargai.” Jawab Zikri

“Terima kasih Datuk sebab sudi nak kenalkan kami dengan pihak kilang.” kata Zali pula.

“Itu je lah saya dapat buat untuk menebus semua kesilapan saya dulu.” Kata Datuk Osman lagi teresak-esak.

****************

Sejak pertemuan itu, Kamal peguam yang merupakan rakan Zikri telah melakukan tindakan undang-undang untuk membantu Datuk Osman untuk mendapatkan semula haknya di dalam Pasaraya Perdana Sdn Bhd. Sudah beberapa kali Datuk Osman dan Kamal turun naik mahkamah.

Petang itu Zikri bersama dengan Zali bertemu dengan Datuk Osman di pejabat guaman Kamal untuk mendengar perkembangan tuntutan Datuk Osman terhadap haknya di dalam bekas syarikatnya dulu itu.

“Semuanya berjalan lancar!” Kata Kamal memberi harapan terhadap kes itu.

“Zikri, awak dah contact pengurus-pengurus kilang yang saya bagi hari tu? Yang akan bekalkan stok untuk koperasi kita?”

“Dah Datuk. Alhamdulillah mereka semua dah setuju untuk bekalkan stok pada koperasi yang akan kita tubuh nanti. Terima kasih banyak-banyak atas bantuan Datuk.”

“Alhamdulillah. Itulah yang saya mampu tolong peniaga-peniaga di kawasan kita ni. Pantun orang dulu-dulu kata ‘pisang sesikat masak sebelanga, kata sepakat makan bersama.”

“Hahaha… Datuk kalau bab pantun memang tak ada orang boleh lawan. Memang orang Melaka pure! Hahaha…” Kata Zali sambil tertawa.

“Hahahaha…. Itulah pusaka kita orang Melaka Zali.” Jawab Datuk Osman.

“Datuk… Satu perkara lagi kami peniaga-peniaga di kawasan ni dah setuju nak lantik Datuk sebagai Pengerusi Koperasi Muafakat Peniaga Melayu yang kita akan tubuhkan tu.” Kata Zikri.

“Allahu…. Terima kasih banyak-banyak Zikri dan semua kawan-kawan awak sebab beri kepercayaan pada saya. Saya janji saya akan gunakan semua contact saya untuk pastikan koperasi ni maju dan dapat membantu semua peniaga Melayu di kawasan ni.”

“Alhamdulillah. Itulah yang kami harapkan Datuk.” Sahut Zali.

“Satu lagi Zikri, saya janji kalau saya dapat balik semua aset-aset saya, saya akan gunakan kekayaan saya tu untuk pastikan semua peniaga Melayu di sini sama-sama berjaya.”

“Alhamdulillah. Kami sentiasa doa agar Datuk menang kes ni. Kita susah sama-sama, kita senang sama-sama Datuk.”

****************

Selepas hampir dua tahun Datuk Osman kehilangan segala asetnya dan setelah beberapa kali perbicaraan akhirnya beliau berjaya mendapatkan semula segala asetnya yang telah ditipu rakan kongsinya itu. Kini dia adalah pemilik yang sah kepada Pasaraya Perdana Sdn Bhd.

Semua peniaga-peniaga Melayu di Melaka gembira. Mereka yakin peniaga-peniaga Melayu di sini akan lebih mantap dengan Datuk Osman sudah menjadi usahawan utama di negeri ini.

Namun selepas Datuk Osman mendapat semula hartanya itu dia sudah mula sibuk. Sukar dihubungi. Panggilan pun sudah tidak berjawab. Whatsapps apatah lagi. SMS lagilah tak dihirau. MMS pula orang dah tak gunakan lagi sekarang.

Petang itu Zikri dan rakan-rakannya yang sama-sama dalam usaha menubuhkan Koperasi Muafakat Peniaga Melayu telah mengadakan satu perjumpaan di pejabat guaman rakannya Kamal. Mereka mahu membincangkan perkembangan koperasi mereka setelah Datuk Osman mendapat semula perniagaannya.

“Zikri. Apa perkembangan koperasi kita ni? Apa kesudahannya? Senyap je?”

“Aku dah hubungi pengurus-pengurus kilang tu. Tapi peliklah….”

“Apa yang peliknya Zikri?”

“Diorang pun dah tak mesra macam dulu. Dah tak berapa layan bila aku telefon. Diorang suruh aku refer pada Datuk Osman.”

“Macam ni. Dah alang-alang kita semua ada ni cuba kau call Datuk Osman. Tanya dia perkembangan fasal koperasi kita ni.” Kata Zainal yang turut hadir dalam perjumpaan itu.

“Betul tu Zikri. Kau call sekarang buat loudspeaker biar kita semua dengar.” cadang Zali pula.

“Aku cuba call dia. Itu pun kalau nasib baik dia angkat. Hehehe”

Zikri terus menghubungi Datuk Osman. Dia membuka loudspeaker di telefon bimbitnya supaya semua orang boleh mendengarnya. Datuk Osman dapat dihubungi. Dia mengambil panggilan Zikri. Selepas bertanya khabar Zikri terus bertanya tentang perkembangan koperasi kepada Datuk Osman.

“Datuk, saya nak tanya, saya cuba hubungi pengurus-pengurus kilang yang akan bekalkan stok kepada koperasi kita. Tapi saya tengok akhir-akhir ni mereka macam berdolak-daliklah Datuk. Macam taknak berniaga dengan koperasi kita je Datuk”

“Oh iya ke? Entahlah… Saya pun tak pasti kenapa. Mmm… Zikri, satu lagi saya nak bagitahu saya tak dapat nak terlibat dalam koperasi yang awak dan kawan-kawan awak tubuh tu. Sebab saya sibuk sangat sekarang ni. Saya mintak maaflah”.

“Oh iya ke? Nak buat macam mana, kan Datuk…”

“Satu lagi, kalau peniaga-peniaga Melayu nak beli stok dari saya pun boleh. Tak ada masalah. Hehehe”

“Oh, iya ke? Bagus jugak macam tu. Datuk boleh bagi harga murah macam yang kita rancang dalam koperasi kita ke? Boleh bagi dekat-dekat dengan harga kilang?”

“Ish… Tak dapatlah rendah macam tu. Saya pun nak untung jugak. Macam ni lah. Saya boleh bagi harga yang sama macam pemborong-pemborong lain jual dekat awak sekarang.”

“Oh… Macam tu…” jawab Zikri ringkas. Dalam hatinya berkata ‘baik tak payah!’.

“Eh, Zikri, saya sebenarnya tengah sibuk ni. Lain kalilah awak call saya ye.”

“Ok Datuk. Assalamualaikum.”

“Waalaikum salam.”

Zikri meletakkan telefon bimbitnya ke atas meja bilik mesyuarat itu perlahan-lahan walau pun di peringkat awal dia rasa seperti mahu menghempaskan sahaja telefon bimbitnya itu di atas meja. Dia tersenyum hambar.

“Aku dah cakap. Dia memang tak berubah! Perangai tamak dia tak berubah! Nak senang sorang-sorang! Mesti dia dah hasut pengurus-pengurus kilang tu supaya jangan berniaga dengan kita. Supaya kita beli dari dia. Licik betul orang tu! Dia dah rasa susah pun tak serik-serik lagi!” bentak Zali.

“Memang tak serik. Sekejap je rasa susah. Dua tahun je. Kalau dia rasa susah sepuluh tahun mungkin la dia serik. Dia lupa time dia susah dulu tengahari makan bihun goreng je. Nak makan nasi campur pun tak mampu. Hehehe….” tambah Zainal pula sambil menepuk-nepuk meja.

“Tak apalah kawan-kawan. Yang penting kita dah jalankan tanggungjawab kita sebagai saudara seIslam membantu dia masa dia susah dulu. Kalau kita berkawan dengan dia masa dia senang itu lainlah, mungkin sebab kita nak duit dia. Kita dah buktikan kita berkawan dengan dia ikhlas sebab kita berkawan dengan dia semasa dia susah, bukan semasa dia senang. Dia nak khianat kita bila dia dah senang balik macam sekarang, itu urusan dia dengan dengan Allah swt. Kita serah pada Allah swt.”

“Konon dulu, pisang sesikat masak sebelanga, kata sepakat makan bersama. Sekarang ni??” sindir Kamal pula.

“Sekarang ni pisang sesikat masak sedulang, kata dah tak sepakat makan sorang-sorang. Hahahaha…” sahut Zali diikuti dengan gelak tawa dari semua yang ada di situ.

Penulis adalah Editor Berita PAS Melaka dan Ketua WARM Lajnah Penerangan PAS Melaka

(Cerpen ini tidak ada kena mengena dengan sesiapa yang masih hidup atau mati. Jika ada hanya kebetulan semata-mata)


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)