Home Berita PAS Melaka

Cerita vaksin di media sosial banyak yang tidak betul – Rafie

163
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 27 Mei : Banyak cerita yang ditularkan tentang vaksin di dalam media sosial adalah tidak betul, kata Timbalan Yang Dipertua (TYDP) PAS Kawasan Tangga Batu, Rafie Ahmad.

Menurut beliau setiap hari dalam pelbagai grup media sosial (medsos) banyak dihidangkan cerita yang buruk dan menyeramkan dan kesan daripada itu ramai yang cerdik pandai pun dilihat sudah terkeliru dan ragu-ragu.

“Betul apa yang dikatakan, perkara yang asalnya tidak benar tapi bila diulang selalu akhirnya akan nampak benar dan boleh menyakinkan orang. Begitu jugalah dengan kisah vaksin Covid-19 ini.

“Saya mendaftar dengan mysejahtera untuk mendapatkan suntikan seawal dibuka. Ketika itu memang bersemangat untuk dapatkan vaksin. Apatah lagi bila melihat ramai teman-teman yang menjadi frontliner telah mendapat suntikan vaksin.

“Bermula dari itu juga pelbagai berita dan cerita yang kita dengar tentang vaksin ini. Banyak yang buruk dari yang baik hingga saya dan ramai kawan-kawan saya dah mula ragu dan ada bibit-bibit kecurigaan,” ujar beliau di dalam satu hantaran di Facebook peribadi beliau pagi tadi.

Tambah beliau lagi, bila fasa dua vaksinasi bermula, maklumat yang diterima menunjukkan ramai yang menolak untuk menerima vaksin.

“Hinggakan saya mendapat perkhabaran, pihak KKM terpaksa menelefon dan mencari nama-nama yang ingin datang dan menerima suntikan secara sukarela pada hari yang sama juga kerana vaksin itu tidak boleh disimpan dan mesti dihabiskan pada hari yang sama juga.

“Bila saya melihat keadaan ini dan pergi untuk melihat sendiri keadaan di pusat vaksin, saya dapati dakwaan itu benar,” ujar beliau lagi.

Menurut Rafie lagi, jumlah dalam kalangan orang ramai khususnya daripada kalangan orang Melayu sangat kurang dan dalam masa yang sama beliau dapat melihat betapa kesedaran dalam kalangan kaum Tionghua sangat tinggi.

“Mereka sanggup menunggu kalau-kalau ada ruang yang kosong (ada penerima yang tidak hadir) yang dapat mereka ambil.

“Saya diberitakan juga di negeri-negeri seperti di Kelantan dan Kedah terutamanya, bilangan yang menolak untuk menerima vaksin agak tinggi,” ujar beliau.

Kata Rafie lagi, melihat keadaan ini dan mendengar rayuan- rayuan yang diluahkan oleh pihak berwajib khususnya daripada KKM, beliau yakin ramai antara rakyat Malaysia telah termakan dengan mitos dan momokan golongan anti-vaksin dan berita-berita propaganda yang tidak mempunyai asas yang kukuh.

“Alhamdulillah, saya akhirnya berjaya mendapat slot untuk menerima vaksin dan telah mendapat gambaran yang sebenar.

“Dalam masa yang sama juga saya melihat melalui usaha-usaha penerangan berterusan yang dilakukan, kesedaran kepada perlunya mengambil vaksin ini telah semakin meningkat khususnya di kalangan orang-orang kita (Melayu).

“Justeru untuk kebaikan semua rakyat Malaysia, khususnya yang belum mendaftar lagi, marilah sama-sama kita mendaftar. Dan kepada yang menolak sebelum ini, buanglah jauh-jauh mitos dan momokan itu demi kesejahteraan kita bersama,” tambah beliau lagi.

Beliau yang juga merupakan Ketua Lajnah Ekonomi PAS Melaka itu turut menyeru khususnya kepada golongan agamawan agar dapat sama-sama membantu untuk menggalakkan rakyat Malaysia supaya mengambil vaksin ini.

“Gunakanlah platform dakwah yang ada untuk menerangkan hakikat tentang peri pentingnya kita menyokong usaha ini dari kaca mata Islam.

“Moga negara kita akan terus aman dan sejahtera. Berdoa dan bertawakallah setelah kita berusaha,” kata beliau lagi.

 

 

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .